Jumlah mangsa banjir dari beberapa kampung di Beaufort dan Membakut yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Selagon setakat jam 8 malam tadi seramai 448 orang.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah dalam kenyataan menyatakan, jumlah itu melibatkan 160 keluarga.

Sebanyak 17 kampung di Beaufort dan Membakut terjejas akibat banjir yang berlaku sejak Selasa lalu.

Antara kampung terjejas termasuk Kampung Bambangan, Kampung Sinoko, Kampung Poring, Kampung Baitam Laut dan Kampung Suasa.

Setakat jam 6 petang semalam, paras air Sungai Padas mencatatkan bacaan terkini 7.37 meter berada pada paras normal, manakala paras air Sungai Membakut pula merekodkan bacaan terkini 6.34 meter berada pada paras amaran.

-- BERNAMA