ALOR SETAR: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kota Setar malam tadi berikutan limpahan air Sungai Anak Bukit mencatatkan melebihi paras bahaya.

Ini menjadikan jumlah PPS yang masih aktif di negeri ini adalah tiga buah yang menempatkan keseluruhan mangsa seramai 107 orang daripada 34 keluarga di dua daerah di negeri ini iaitu di Kota Setar dan Kubang Pasu setakat jam 8 pagi Rabu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di daerah Kubang Pasu mencatat jumlah seramai 31 mangsa daripada tujuh keluarga.

Beliau berkata, di daerah Kota Setar pula, PPS di SK Titi Gajah yang dibuka jam 5.30 petang semalam menempatkan seramai 44 mangsa daripada 18 keluarga.

"PPS baharu yang dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah pada jam 11 malam tadi menempatkan seramai 32 mangsa daripada sembilan keluarga.

"Antara kampung yang terjejas banjir di daerah Kota Setar adalah di Kampung Alor Gunung, Kampung Pulau Kerengga, Kampung Seberang Chegar, Kampung Perang, Kampung Titi Gajah, Kampung Alor Senjaya dan Kampung Bohor di daerah Kota Setar yang dinaiki air sejak semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, tiga sungai di Kedah didapati sudah melebihi paras bahaya iaitu masing-masing satu di daerah Kota Setar dan dua di Kubang Pasu.

Berdasarkan web Public Infobanjir, bacaan paras air Sungai Anak Bukit di Taman Aman di Kota Setar mencatatkan melebihi paras bahaya iaitu 3.08 meter manakala Sungai Bata di Kampung Bata, daerah Kubang Pasu mencatatkan bacaan 9.45 meter manakala Sungai Padang Terap di Kepala Batas di daerah Kubang Pasu mencatatkan 3.83 meter.

Dua lagi sungai iaitu Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar, Sungai Pendang di Pekan Pendang menunjukkan bacaan melebihi paras amaran manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di Kota Setar pula sudah melebihi paras waspada.

Kesemua sungai terbabit menunjukkan trend meningkat.