KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di empat negeri terus mencatatkan penurunan setakat 4 petang hari ini dengan 10,895 orang ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 14,388 orang di 55 PPS tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 10,354 orang di 29 PPS berbanding 13,529 orang di 38 PPS, tengah hari tadi.

Menurut laporan itu, 29 PPS dibuka di empat daerah di Kelantan merangkumi 13 PPS di Pasir Mas yang menempatkan 6,733 mangsa daripada 2,008 keluarga, 10 PPS di Tumpat (3,099 mangsa daripada 1,085 keluarga), tiga PPS di Jeli (455 mangsa daripada 115 keluarga) dan tiga PPS di Kuala Krai (67 mangsa daripada 16 keluarga). (3,224 keluarga)

Di Terengganu, jumlah mangsa turut menurun kepada 354 orang daripada 97 keluarga yang berlindung di lima PPS berbanding 659 orang daripada 181 keluarga di Sembilan PPS di Daerah Dungun dan Kuala Terengganu tengah hari tadi.

Jumlah mangsa banjir di Johor pada petang ini pula menurun sedikit kepada 54 mangsa daripada 14 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di Daerah Segamat.

Di Pahang, mangsa banjir di lima PPS merangkumi Daerah Bera, Maran dan Temerloh turut mencatatkan penurunan kepada 133 orang daripada 37 keluarga berbanding 145 orang daripada 40 keluarga tengah hari tadi.

Sementara itu, laporan itu juga memaklumkan jumlah mangsa bagi insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal 87 orang daripada 17 keluarga yang masih berlindung di sebuah PPS yang dibuka di daerah itu.

Bagi tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai di Kelantan iaitu Sungai Golok di Pasir Mas, Sungai Golok di Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Jeli berada pada paras bahaya setakat tengah hari ini.

Selain itu, Sungai Perak di Hulu Perak, Perak dan Sungai Arau di Arau, Perlis juga berada pada paras bahaya.

Laporan berkenaan juga menyebut terdapat 44 jalan ditutup akibat insiden banjir, jambatan rosak/runtuh dan tanah runtuh.

Antara jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat di Johor, Jalan Pasir Mas - Pohon Tanjong (Kelantan), Jalan Marang - Wakaf Tapai (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga Sintok, Kedah.

-- BERNAMA