SHAH ALAM: Jumlah pesakit COVID-19 yang hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di empat daerah di Selangor masing-masing di Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang menunjukkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini.
Malah statistik di CAC Stadium Melawati di Shah Alam, di sini menunjukkan berlaku pertambahan sehingga tiga kali ganda iaitu sekitar 2,600 berbanding 800 pesakit sehari yang direkodkan sebelum ini.
Situasi tersebut didedahkan oleh Pasukan Respons Dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Menurut Koordinatornya, Dr Ahmad Munawar Helmi Salim, jumlah pesakit yang begitu ramai setiap hari disebabkan segelintir mereka hadir secara serentak, selain tidak mengikut janji temu yang diberikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.
Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan mereka yang hadir adalah bagi tujuan penilaian dan memotong gelang selepas tamat tempoh kuarantin.
"Memang setiap hari sejak minggu lepas hingga minggu ini, situasi jumlah pesakit meningkat dengan mendadak. Semalam seramai 2,200 pesakit dan hari Isnin lepas adalah paling tinggi dalam sejarah sejak CAC dibuka iaitu hampir 2,700.
"Kita buka CAC pada pukul 8.30 pagi tetapi pesakit datang seawal pukul 6.30 pagi. Maka, walaupun mereka ada janji temu tetapi kebanyakan akan datang pada masa serentak iaitu pada awal pagi. Sebab itu kita nampak awal pagi memang akan beratur panjang.
"Walaupun minggu ini sudah beberapa hari lebih 2,000 pesakit hadir, tetapi alhamdulillah sekitar pukul 2.30 petang sudah selesai (penilaian kepada pesakit) dan paling lambat pukul 5 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Munawar berkata kebanyakan pesakit yang hadir ke CAC sebelum ini berada dalam kategori 1 dan 2, namun pusat penilaian itu kini mula menerima pesakit pada tahap 4 dan 5.
Jelas beliau lagi, memandangkan kapasiti katil di hospital berada dalam keadaan kritikal, pesakit yang perlu mendapatkan rawatan terpaksa berada di CAC dalam tempoh yang lebih lama sebelum mereka boleh dihantar ke hospital.
Selain pesakit dalam komuniti, CAC juga menerima pesakit dalam sektor industri yang dihantar oleh majikan masing-masing menggunakan bas.
BACA: COVID-19: KKM bakal wujudkan pusat panggilan, tambah baik proses pemantauan CAC
Dr Munawar menambah ujian saringan yang sedang giat dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi-lokasi bersasar termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut menyumbang kepada peningkatan angka kes positif.
Bagaimanapun, ketika ditanya adakah keadaan ketika ini masih terkawal, Dr Munawar berkata:
"Kalau hospital kita sudah penuh dan pesakit kategori 4 masih di atas kerusi roda, di lantai dan tiada katil, ini kan pula mereka dalam komuniti yang datang ke CAC setiap hari,. Bagi CAC bersaiz kecil, sekurang-kurangnya 10 orang memerlukan oksigen dan ini menunjukkan keadaannya semakin teruk.
"Kita rasa perlu peningkatan kapasiti kesihatan, bukan sahaja fasiliti katil dan dewan tetapi juga tenaga kerja. Tenaga kerja ketika ini adalah orang sama sejak tahun lepas dan sampai sekarang mereka tidak henti-henti (bekerja).
"Jadi, kalau kita buka lebih banyak katil, di mana kita nak cari tenaga kerja? Kalau kita buka lebih banyak katil, adakah kita cukup kapasiti oksigen dan lain-lain?" soalnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar CAC di setiap daerah di Lembah Klang menambah baik perkhidmatan termasuk menggunakan aplikasi bagi memudahkan proses memantau pesakit COVID-19.
Setakat ini, seramai 500 sukarelawan perubatan dan bukan perubatan IMARET ditempatkan di lapan CAC di enam daerah di Selangor.
CAC akan mengklasifikasi tahap pesakit COVID-19 untuk menentukan pengurusan pesakit termasuk kelulusan rawatan di rumah.
Selain itu, CAC akan mengenal pasti pesakit yang memerlukan rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital iaitu pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak sesuai untuk ditempatkan atau dipantau dari rumah.
Hasimi Muhamad
Fri Jul 09 2021
Situasi di CAC Stadium Melawati di Shah Alam yang dikongsi oleh IMARET - Gambar ihsan IMARET
Gempa bumi kuat 6.3 magnitud gegar Chile
Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan wilayah tengah Chile termasuk ibu negara, Santiago pada Jumaat.
UMNO tidak terima permohonan Tengku Zafrul keluar parti - Ahmad Zahid
Presiden UMNO sahkan parti itu tidak menerima permohonan Tengku Zafrul untuk meninggalkan parti.
Bola api penuhi ruang udara di Damsyik
Satu rakaman video memaparkan sejumlah bola api memenuhi ruang udara bandar Damascus diikuti bunyi letupan kuat turut kedengaran pada Jumaat.
Presiden Korea Selatan berdepan undi pemecatan kedua
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, kini menghadapi undi pemecatan kedua pada Sabtu selepas percubaannya mengisytiharkan undang-undang darurat selama beberapa jam mencetuskan krisis politik.
Parti-parti pembangkang merancang undi pemecatan pada Sabtu, pukul 4 petang, dengan perhimpunan besar dijadualkan sebelum undian.
Parti-parti pembangkang merancang undi pemecatan pada Sabtu, pukul 4 petang, dengan perhimpunan besar dijadualkan sebelum undian.
Kongres Khas PKR fokus reformasi pemilihan parti
Kongres Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan pada Ahad akan meminda perlembagaan parti.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata pindaan tersebut melibatkan aspek jumlah perwakilan, kuota gender, dan etnik.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata pindaan tersebut melibatkan aspek jumlah perwakilan, kuota gender, dan etnik.
Suri rumah rugi lebih RM750,000 ditipu pelaburan bitcoin
Seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian lebih RM750,000 selepas terperdaya skim pelaburan bitcoin dalam talian.
“Sifat materialistik mengundang malapetaka dalam masyarakat” - Dr Maza
Nilai kemanusiaan tidak lagi mendominasi kehidupan kerana segala-galanya diukur berdasarkan keuntungan semata-mata.
Pembunuhan kejam, buli siber detik suram 2024
Tahun 2024 mencatatkan pelbagai peristiwa tragis menggemparkan negara termasuk jenayah kejam yang meragut nyawa empat individu.
Jumlah mangsa banjir terus catat penurunan
Jumlah mangsa banjir terus mencatat penurunan kepada 305 mangsa daripada 93 keluarga setakat jam 9 pagi Sabtu.
AWANI Ringkas: Kes bayi dibeku di hospital di Klang
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Jumlah pesakit COVID-19 yang hadir di CAC Stadium Melawati naik mendadak - IMARET
Jumlah pesakit COVID-19 di CAC Stadium Melawati di Shah Alam menunjukkan pertambahan sehingga tiga kali ganda iaitu sekitar 2,600 berbanding 800 pesakit sehari.