“ Mereka miskin kerana mereka pemalas”
“Ayah dia Tan Sri”
“Dia kenal orang dalam”
“Aku boleh berdiri seperti sekarang kerana usaha kuat aku selama ini”
Luahan-luahan ini biasa didengari dalam ‘borak kedai kopi’, setiap kali topik kaya dan miskin dibincangkan.
Ramai pantas menyamakan isu jurang pendapatan yang tidak sama rata sebagai isu kebajikan atau sosialis.
Ini berlaku di mana-mana, sedihnya termasuklah golongan ‘kelas menengah’ Malaysia, yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya penerima pendapatan dan pemilik kekayaan dalam kelompok teratas.
Isi rumah yang memperolehi RM 10,000 ke atas sebulan sudah pun cukup meletakkan mereka dalam golongan 4% paling elit di Malaysia.
Hakikatnya, ketika suara-suara kepartian terus menerus membincangkan wacana ketidaksamarataan bernada perkauman, Malaysia tanpa disedari telah bergerak ke dalam kancah peperangan baru, yang berkaitan dengan ketidaksamarataan di antara orang-orang sekaum, iaitu perang perbedaan kelas dan tingkat pendapatan.
Sering dihujahkan bahawa orang miskin dan berpendapatan rendah wujud disebabkan mereka malas, tidak bekerja keras dan sering mengharapkan bantuan.
Ini tidak benar.
Ramai yang tidak bernasib baik, dilahirkan dalam keluarga yang kurang pendidikan dan kurang kemahiran untuk melepaskan diri daripada cengkaman kemiskinan.
MESTI BACA: Ekonomi Lompong Malaysia
Ada yang dilahirkan dengan kecacatan ataupun penyakit kekal, manakala ada yang hidup di kawasan yang sering ditimpa musibah dan merbahaya.
Di satu wajah kehidupan lain pula, kita melihat ahli-ahli perniagaan tidak berkompetensi yang dianak angkatkan oleh “ayahanda-ayahanda” politik, pewaris-pewaris kekayaan dan estet keluarga, serta individu yang bernasib baik ditempatkan dalam industri mewah dengan pulangan lumayan.
Kemalasan di sini tidak lagi menjadi isu.
Orang kaya pun boleh jadi malas!
Ramai yang tidak berhak miskin, seperti mana juga ramai yang tidak layak menjadi kaya.
Kes-kes di atas menggambarkan dengan jelas bahawa bukan semua kemiskinan ialah hasil daripada keengganan untuk bekerja keras, dan bukan semua kekayaan disebabkan oleh usaha dan penat lelah.
MESTI BACA: Artikel lanjut dari Anas Alam Faizli di sini
Maka, perjuangan menentang ketidaksamarataan sebenarnya ialah perjuangan untuk menyamaratakan peluang bagi menghasilkan lebih keseimbangan, dan bukannya untuk menghasilkan kesamarataan dengan campurtangan yang merencatkan.
Ini bukanlah perjuangan menentang orang kaya, tetapi perjuangan untuk membantu orang miskin.
Ada Apa dengan Ketidaksamarataan?
Ketidaksamarataan itu realiti, tidak kisahlah sejauh mana kita percaya dengan pekali GINI sebagai pengukurnya.
Malah, perhatian kepada ketidaksamarataan banyak digerakkan oleh kesan ketidaksamarataan itu sendiri yang sudah menunjukkan taringnya, dan bukannya kebangkitan untuk mengelaknya.
Kita boleh melihat kesan ketidaksamarataan kepada masyarakat; seperti ketidaksamarataan kuasa, kesan kepada kadar peningkatan gaji, kesan kepada pertumbuhan, jenayah dan kualiti kehidupan secara amnya.
Selagi mana jurang pendapatan dan ketidaksamarataan kekayaan kekal luas, dan pelaburan institusi awam dalam pendidikan, latihan, kebajikan kanak-kanak dan kemudahan awam terus berkurangan, cukai yang progresif dan tindakan afirmatif dalam bentuk tulen dan mengekalkan cita-cita murninya, wajar diberi ruang dalam pembentukan dasar dan polisi institusi awam.
MESTI BACA: Satu ukuran sistem penjagaan kesihatan Malaysia: Adakah kita bakal gagal?
Keperluan golongan kaya dalam masyarakat yang berkongsi tanggungjawab membantu golongan miskin cukup kritikal; sebenarnya demi kepentingan mereka juga, kerana kesan-kesan negatif ketidaksamarataan yang tinggi akan dirasai oleh semua.
Salah Anggapan tentang Pasaran Bebas
Dalam mana-mana wacana ketidaksamarataan kekayaan dan kemiskinan, isu ‘pasaran bebas’ tentu sekali akan diketengahkan.
Ciri asas kepada pasaran bebas dapat digambarkan dengan konsep “Invisible Hand” yang diperkenalkan oleh ahli ekonomi kurun ke-18, Adam Smith.
Konsep ini berpegang bahawa harga, pengedaran barangan, perkhidmatan, buruh, modal, tanah dan kemahiran manusia ditentukan oleh kuasa pasaran, atau ‘tangan’ yang tidak boleh di lihat secara fizikal.
Penyokong sistem ini selalunya menentang peningkatan campur tangan kerajaan seperti derma, cukai, subsidi dan faedah.
Ringkasnya, mereka percaya yang hanya pasaran yang dibenarkan bergerak bebas yang akan mencapai keseimbangan secara, seterusnya mencapai produktiviti dan kekayaan untuk negara.
Pasaran mempunyai elemen keadilan yang tidak dapat dinafi; kerja keras akan membolehkan kita mendapat pendapatan yang tinggi, dan kemalasan akan dihukum dengan kesusahan.
Pekerjaan, barang-barangan dan tahap gaji ditentukan secara ‘semulajadi’ seperti yang dimintakan oleh masyarakat, berdasarkan keperluan dan keupayaan mereka dan bukan berdasarkan pengagihan kerajaan, yang cukup terdedah dengan situasi terlebih atau terkurang.
Walaupun begitu, keadilan dalam pasaran tidak boleh terlalu diagungkan.
Kuasa pasaran boleh menjadi ‘ganas tanpa belas ihsan’, seperti yang dikatakan oleh Jeffrey Sachs.
Kewujudan ruang kegagalan dalam pasaran tidak boleh dinafikan sama sekali kerana bukan semua manusia bermula daripada asas yang sama.
Dalam sistem yang sama, titik permulaan seperti harta, peluang atau kesihatan fizikal berbeza antara satu sama lain.
MESTI BACA: Falasi realiti ekonomi Malaysia dan pekerja asing
Ketika ada yang dapat keluar daripada kepompong pendapatan rendah dan berjaya, hasil daripada peluang keemasan, ada juga yang terus kekal terhimpit dalam kitaran ganas ini.
Hakikatnya, bukan semua mendapat peluang keemasan.
Antagonis Percukaian
Antara penyokong tegar pasaran bebas ialah libertarian di mana etika asas mereka ialah kebebasan.
Mereka mendukung idea bahawa hasil ekonomi terbaik hanya akan muncul apabila setiap individu dibiarkan bebas untuk bertindak dan hidup tanpa ada pihak berkuasa yang menetapkan aktiviti ekonomi mereka.
Individu tidak perlu dan tidak bertanggungjawab kepada masyarakat, selain daripada menghormati kebebasan dan hak milik orang lain.
Tanggungjawab kerajaan hanyalah untuk melaksanakan undang-undang dan mengekalkan keamanan bagi melindungi hak milik peribadi.
Malah, pendukung libertarian yang ekstrem berpendapat bahawa tidak ada keperluan langsung untuk kerajaan membina prasarana, jalan atau lebuhraya; itu semua perlu ditentukan oleh kuasa pasaran kerana keperluannya sahaja sudah cukup untuk memastikan ada dalam pasaran yang akan membinanya.
Libertarian ialah ‘Antagonis Percukaian’.
Antara banyak-banyak campurtangan kerajaan, libertarian menentang kerajaan yang mempromosikan keadilan dan kecekapan menerusi sistem percukaian.
Cukai dianggap satu bentuk peras ugut oleh kerajaan yang menghapuskan motivasi mereka yang berkerja kuat, dan berpotensi untuk memberi ganjaran kepada yang tidak berusaha.
Tuntasnya, pendukung libertarian berpegang kepada pasaran bebas sebagai satu-satunya cara untuk mengagihkan ekonomi secara demokratik; kebebasan gaya libertarian ialah penyelamat demokrasi dan penjamin kemakmuran.
Oleh itu, usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin juga menjadi isu yang dibantah oleh kelompok libertarian.
Libertarian di Malaysia
Banyak pihak gemar meremehkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi kejayaan dasar ini hampir menghapuskan kemiskinan tidak dapat dinafikan; kejadian kemiskinan telah berkurang dari 50% pada 1970 kepada 3.8% kini.
Golongan yang dahulunya miskin, kini membentuk kelas menengah dan profesional Malaysia.
Malangnya, tidak ada apa yang boleh dibanggakan daripada DEB selepas pertengahan tahun 90-an. Korupsi, ketirisan dan kepincangan integriti yang diperlihatkan dalam sistem kerajaan telah memburukkan lagi situasi.
Mungkin kekecewaan terhadap institusi kerajaan inilah yang menyuburkan ideologi libertarian di Malaysia.
Adakah libertarianism untuk Malaysia?
Kita boleh mula mencari jawapannya dengan kembali kepada persoalan keperluan mewujudkan kerajaan.
Ada persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan awam.
Kita juga tidak memerlukan lebih daripada satu pasukan polis, bomba atau mahkamah undang-undang yang bersaing antara satu sama lain.
Tanpa kerajaan, siapakah yang akan mengendalikan masalah alam sekitar, meregulasikan kebejatan moral, memastikan individu tidak mencederakan satu sama lain, dan melindungi kedaulatan rakyat Malaysia?
Mengurangkan peranan sosok kerajaan mungkin boleh dipertimbangkan, tetapi menghapuskannya sama sekali boleh membawakan kemudaratan yang sukar dibayangkan.
Seterusnya kita tiba kepada isu kemiskinan pula.
Niat baik libertarian yang terpuji yakni memberi ganjaran kepada usaha keras dan mengurangkan pengaruh kerajaan yang korup, sebenarnya turut membuka ruang yang terlalu luas kepada kesinambungan kekayaan bagi yang sudah kaya dan kitaran kemiskinan yang semakin ganas.
Seperti yang dihujahkan, setiap manusia bermula dari latarbelakang yang berbeza.
Yang kaya terus berada dalam kedudukan yang membenarkan mereka meluaskan empayar kekayaan mereka- malah mereka tidak boleh disalahkan kerana mereka diberi peluang dan dibenarkan berbuat demikian!
Lebih teruk lagi jika kekayaan datang dari pemerolehan dan penggarapan kekayaan yang sedia ada, dan bukannya lahir dari perekaan kekayaan yang baru dan nilai tambah yang baru; lantas seterusnya meningkatkan saiz ekonomi.
Akhirnya, kuasa akan berada dalam genggaman sektor korporat dan golongan kaya, lantas memberikan mereka kuasa mempengaruhi dasar awam secara signifikan, bertentangan dengan hasrat murni asal ‘demokrasi’ libertarian tadi.
Ahli lembaga pengarah dan ketua syarikat tidak dapat dipilih oleh rakyat, seperti kerajaan yang terlantik.
Ketakutan libertarian terhadap negara sosialis yang akan menuju ke arah fasism sebenarnya juga boleh berlaku dalam pasaran bebas yang menyamar sebagai sektor korporat.
Kegagalan pasaran bebas kemudiannya akan menjadi persoalan kegagalan politik, dan bukan sahaja persoalan kegagalan ekonomi!
Sekarang cuba bayangkan ‘pasaran bebas’ ini di Malaysia, dengan tahap ketidaksamarataan antara tertinggi di Asia (menurut ukuran GINI).
Golongan miskin yang tidak berdaya akan terus ketinggalan dalam kuasa pasaran berbanding golongan kaya.
Di sinilah keadaan di mana hasrat murni kebebasan ekonomi yang tulen seperti yang dicadangkan oleh libertarian tidak mampu menjanakan hasil yang diidamkan pada asalnya.
Membangunkan Golongan Miskin: Menyamaratakan Padang Persaingan
Artikel ini bukan menyarankan kemunculan Robin Hood zaman moden, merompak golongan kaya yang bekerja keras dan memberikan harta mereka kepada yang miskin.
Golongan kaya boleh memberikan bantuan dengan mengendong sedikit tanggungjawab untuk menaikkan tahap pendidikan, kesihatan dan kadar produktiviti golongan miskin.
Bayangkan perbezaan sebuah komuniti yang mempunyai seorang hartawan bernilai RM40 bilion dan golongan miskin yang ramai, dengan sebuah komuniti yang mempunyai 400 isi rumah bernilai RM10 milion setiap satu.
Sejauh mana kita tidak suka membayar cukai sekalipun, kita menerima kesahihannya selagi mana ia dijadikan undang-undang dan digunakan sebaiknya.
Hal ini juga tidak bermakna golongan miskin boleh goyang kaki.
Peluang sudah diberikan, dan tiba masanya mereka menggunakannya.
Ideanya ialah kek ekonomi yang lebih besar dan mewujudkan dan melahirkan nilai-nilai baru, yang Malaysia tidak dapat nikmati sekarang kerana golongan miskin yang berpotensi menghasilkannya tidak diberi peluang.
Dengan mengambil kira semua perkara ini, di manakah kedudukan libertarianism, cukai untuk golongan kaya dan perniagaan, dan pasaran bebas?
Adakah peningkatan peranan kerajaan semestinya menatijahkan korupsi?
Negara kebajikan di rantau Skandinavia mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Amerika Syarikat dalam Index Pembangunan Manusia (HDI).
Pada masa yang sama, negara-negara terbabit adalah antara negara yang paling seimbang dengan tadbir urus dan kawalan terhadap korupsi terbaik, walaupun mempunyai saiz kerajaan yang lebih besar.
Kesudahannya, ekonomi yang sihat ialah ekonomi campuran, di mana kerajaan dan kuasa pasaran memainkan peranan masing-masing.
Nisbah yang tepat memang terus menjadi tanda tanya; tetapi permulaan yang baik adalah dengan berhenti daripada terus-menerus menidakkan realiti ketidaksamarataan.
Ketidaksamarataan bukanlah sekadar hobi para aktivis anti-kapitalis yang cemburu dengan sektor korporat dan golongan cendikiawan ekonomi pembangunan yang sibuk mencari isu sensasi untuk penyelidikan mereka.
Benar, campurtangan kerajaan pelbagai bentuk dan saiznya mungkin mampu merencatkan kemampuan, tetapi kefahaman ‘orang miskin malas dan orang kaya rajin’ itu hanyalah satu mitos.
Ke arah Malaysia yang lebih baik, kita tiada pilihan selain untuk terus meningkatkan produktiviti dengan suatu fokus yang baru; iaitu penglibatan semua golongan dalam semua kelas dan tingkat ekonomi.
Jika tidak, Malaysia akan terinjak-injak bergerak ke hadapan, dengan membawa bersama bebanan kesan dasar-dasar awam yang silam.
‘Negarawan ialah mereka yang berfikir untuk generasi masa hadapan, manakala ahli politik pula ialah mereka yang hanya berfikir tentang pilihanraya akan datang’- Abraham Lincoln
*Anas Alam Faizli memegang ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah seorang professional bidang pembinaan dan minyak & gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan adalah pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians dan bertweet di @aafaizli
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.
Anas Alam Faizli
Wed Nov 02 2016
Astro AWANI/Shahir Omar
Kes VLN: 'Saya bersyukur, terima kasih kepada Allah' - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan semua rayuan difailkan pihak pendakwaan.
PM Anwar ingatkan AI tidak menyebabkan kehilangan pekerjaan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan, penggunaan AI tidak akan menyebabkan kehilangan pekerjaan.
Selena Gomez umum pertunangan dengan Benny Blanco
Pengumuman pertunangan mereka dibuat melalui Instagram, di mana Selena memperlihatkan cincin bertatah berlian dengan kapsyen "Forever begins now".
Seorang kanak-kanak Israel cedera ditembak
Seorang kanak-kanak lelaki Israel berada dalam keadaan kritikal berikutan insiden tembakan di sebuah bas berhampiran Beit Jala, di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Jurucakap Pusat Perubatan Hadassah, tempat mangsa dirawat, berkata kanak-kanak berusia 10 tahun itu menerima rawatan kecemasan di unit trauma bersama dua lagi mangsa dewasa.
Jurucakap Pusat Perubatan Hadassah, tempat mangsa dirawat, berkata kanak-kanak berusia 10 tahun itu menerima rawatan kecemasan di unit trauma bersama dua lagi mangsa dewasa.
RM100 juta diperuntuk tingkat minat murid dalam bidang STEM
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, sebanyak RM100 juta telah diperuntukan pada tahun 2024 untuk tujuan meningkatkan minat murid dalam bidang STEM.
Jelasnya, sebanyak 506 buah makmal sains dan 518 buah makmal komputer sedang diselenggara dan dinaik taraf untuk menjadikan pembelajaran STEM lebih menarik dan bermakna.
Ikuti berita terkini di https://grid.astroawani.com/
#AWANInews #SisiTvParlimen #DewanRakyat
Jelasnya, sebanyak 506 buah makmal sains dan 518 buah makmal komputer sedang diselenggara dan dinaik taraf untuk menjadikan pembelajaran STEM lebih menarik dan bermakna.
Ikuti berita terkini di https://grid.astroawani.com/
#AWANInews #SisiTvParlimen #DewanRakyat
Pembinaan RTS Link Johor Bahru-Singapura bagi kerja infrastruktur capai 95 peratus
Pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura berjalan mengikut jadual dengan tahap kemajuan mencapai 95 peratus bagi kerja-kerja infrastruktur setakat November lepas.
Apple Intelligence diaktifkan ke beberapa lagi negara tetapi tidak di Malaysia
Apple Intelligence boleh digunakan pada peranti tertentu seperti iPhone 15 Pro, iPhone 15 Pro Max, siri iPhone 16, Mac dengan cip Apple M, iPad dengan cip Apple M, dan iPad Mini dengan cip A17 Pro.
RUU Ombudsman Malaysia jangka dibentang tahun depan
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran berkata pada masa ini, beberapa sesi bengkel cadangan dasar penubuhan Ombudsman telah diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.
Kertas siasatan SD sokong Muhyiddin jadi PM dirujuk AGC
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan bertulis di Parlimen berkata, AGC kemudiannya telah menyerahkannya kembali kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.
KWSP lancar Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan rangka kerja RIA
Panduan dan rangka kerja ini bertujuan menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan serta mengemaskini tahap simpanan.
COVID-19: Jurang kaya dan miskin dikhuatiri semakin melebar - Pakar ekonomi
Jelas beliau, pada masa yang sama, golongan kaya tidak terlalu terkesan dengan impak ekonomi akibat COVID-19.