BUTTERWORTH: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.2 juta dua tahun lalu.

Tertuduh, Choo Peng Hoong, 41, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memegang jawatan pengarah syarikat Choo Marketing Sdn Bhd ketika kejadian, didakwa memindahkan wang berjumlah RM1.2 juta dari akaun bank milik syarikat yang dipercayai hasil aktiviti haram ke dalam sembilan akaun milik syarikat dan individu lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank, cawangan Maybank Berhad di Taman Inderawasih, Jalan Chain Ferry antara 11 Mac  sehingga 24 Mac 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous manakala tertuduh diwakili peguam Y. Anbananthan .

Terdahulu, semasa prosiding Noor Zalizan menawarkan jaminan RM100,000 bagi semua pertuduhan bersama dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon agar jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan memandangkan tertuduh kini hanya bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM3,500 sebulan.

Selain itu dia juga perlu menanggung ibunya yang berusia 72 tahun yang perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM54,000 dengan dua orang penjamin rakyat tempatan.

Selain itu, syarat tambahan juga dikenakan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.