MADHYA PRADESH: Seorang jururawat lelaki ditahan atas dakwaan merogol seorang pesakit COVID-19 di sebuah hospital kerajaan di Bhopal, India.

Pihak berkuasa mendapat tahu tentang perbuatan itu setelah mangsa yang positif COVID-19 berkenaan membuat laporan tentangnya.

Malangnya, wanita itu meninggal dunia 24 jam selepas melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, dan selepas sebulan, baru kini kisahnya mendapat liputan media.

Wanita itu membuat laporan polis pada 6 April dan mengenal pasti tertuduh dalam satu kenyataan kepada doktor, lapor NDTV.

Namun keadaannya bertambah buruk sejurus selepas itu dan dia dipindahkan ke unit rawatan rapi Bhopal Memorial Hospital, sebelum meninggal dunia beberapa jam selepas itu.

Tertuduh, Santosh Ahirwar, kini dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan.

Pegawai kanan polis, Irshad Wali memaklumkan, mangsa meminta agar identitinya dilindungi dan kejadian itu tidak didedahkan kepada sesiapa.

"Itulah sebabnya maklumat itu tidak diberikan kepada sesiapapun kecuali pasukan penyiasat," katanya.

Tertuduh sebelum ini pernah membuat gangguan seksual terhadap seorang jururawat kakitangan berusia 24 tahun.

Dia juga dilaporkan pernah digantung tugas kerana mabuk semasa bertugas.