Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap pertuduhan merogol gadis berusia 13 tahun yang juga adik teman wanitanya pada Mei lepas.

Muhammad Syahir Naim Ramli, 20, didakwa merogol pelajar sekolah agama itu di dalam bilik di sebuah rumah di Jalan 9/56, Ulu Klang di sini pada 12.30 malam, 15 Mei lepas.

Lelaki itu, yang tidak diwakili peguam, dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Hakim Datin M. Kunasundary menetapkan 25 Julai untuk sebutan semula kes.