MALAYSIA
Jurutera didakwa terima rasuah RM100,000

Mohd Azly didakwa menerima suapan antara RM5,000 hingga RM10,000, dengan jumlah keseluruhan RM100,000 daripada seorang kontraktor berusia 70 tahun. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Seorang jurutera awam kanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000 berkait tuntutan bayaran projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Gua Musang, Kelantan.
Ringkasan AI
- Seorang jurutera awam kanan didakwa atas 14 pertuduhan rasuah berjumlah RM100,000 berkait bayaran projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Gua Musang.
- Tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jamin RM12,000, dengan perbicaraan ditetapkan semula pada 17 Julai ini.
- Kes melibatkan dakwaan menerima suapan daripada kontraktor, bagi mengesyorkan bayaran interim projek melalui pemindahan wang ke akaun bank.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Jalan Maju di sini, antara 22 Dis 2022 hingga 31 Okt 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azeezi Nordin.
Terdahulu, Tengku Nurul Haziqah mencadangkan jaminan RM20,000 untuk kesemua pertuduhan bagaimanapun Azeezi merayu jumlah jaminan rendah, iaitu RM8,000 mengambil kira anak guamnya perlu menanggung isteri serta empat anak.
Azeezi berkata tertuduh kini bekerja sebagai penjual sabun dan pemandu e-hailing.
Hakim Dazuki Ali membenarkan Mohd Azly diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami