KUALA LUMPUR: Seorang jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima suapan RM20,000 berkaitan projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia dua tahun lalu.

Tertuduh, Izwan Mahsuri, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Izwan yang bertugas sebagai Jurutera Awam Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR didakwa menerima jumlah suapan itu untuk dirinya daripada seorang lelaki melalui pindahan wang dalam talian.

Pindahan wang itu daripada akaun milik Uji Teguh Resources ke akaun milik SBR Consultant yang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Berhad cawangan Selayang, Gombak pada 14 Disember 2020.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh mengguna pakai jaminan RM35,000 yang ditetapkan sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk kes pertuduhan ini.

Turut dikenakan syarat tambahan terhadap tertuduh, menyerahkan passport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Nurul Atiqah Mohamad Alias, manakala tertuduh diwakili Peguam Hamdan Hamzah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 November depan.