PETALING JAYA: Hasrat seorang jurutera sebuah syarikat swasta untuk menikmati pendapatan menerusi pelaburan rumah tidak kesampaian apabila dia kerugian kira-kira RM600,000, enam tahun lalu.

Lelaki berusia 53 tahun itu dikatakan menerima tawaran pelaburan daripada seorang peguam wanita yang kononnya menjanjikan keuntungan tinggi  akan dibayar kepada pelabur sebaik sahaja rumah tersebut berjaya dijual.

Setiap unit rumah itu ditawarkan dengan nilai RM150,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, terpedaya dengan tawaran itu, mangsa tanpa berfikir panjang menyerahkan sejumlah RM600,000 bagi empat unit rumah.

Menurut beliau, berdasarkan laporan, mangsa dijanjikan akan menerima pulangan beserta keuntungan sehingga RM180,000 bagi setiap unit sekiranya rumah tersebut berjaya dijual kepada pemilik baharu.

"Malah untuk menyakinkan lagi mangsa, suspek berusia 51 tahun itu menjanjikan untuk memulangkan kesemua wang terbabit sekiranya rumah-rumah tersebut tidak terjual," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Nik Ezanee berkata, mangsa hanya menyedari dirinya tertipu selepas membaca berita di surat khabar mengenai pertuduhan ke atas wanita itu atas kesalahan menjual rumah yang tidak wujud.

Beliau memberitahu, apabila mangsa cuba meminta wangnya dikembalikan suspek enggan berbuat demikian serta memberikan pelbagai alasan.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau bersabit kes Petaling Jaya," jelasnya, 

Bertindak atas laporan mangsa, katanya, kira-kira pukul 8 pagi, pada 18 Mac lalu, polis menahan peguam itu di perkarangan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Petaling Jaya dan dihadapkan di Mahkamah Kuala Lumpur dengan pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksan kerana menipu.

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM7,000.