SIBU: Sarawak telah menerima lampu hijau daripada kerajaan pusat untuk melakukan perbincangan dengan Singapura, berkenaan pembangunan projek kabel elektrik dasar laut dari Tondong ke negara tersebut.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelaksanaan projek yang melalui kawasan Indonesia itu, akan membolehkan Sarawak mengeksport bekalan elektrik sehingga 1,000 megawatt (MW) elektrik, secara prinsipnya telah diputuskan.

"Sukacita saya nyatakan di sini bahawa projek untuk kita membekalkan tenaga elekrik ke Singapura sehingga 1,000 MW sekarang boleh dimulakan kajian, terutama sekali untuk kita mewujudkan projek kabel elektrik dasar laut dari Tondong di Sarawak ke Singapura.

"Jadi kita sudah mendapat keputusan, di mana kerajaan Persekutuan telah memberi 'lampu hijau' untuk kita berbincang mengenai pelaksanaan projek dan secara prinsipnya telah diputuskan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Menurut UKAS, Abang Johari turut mengadakan mesyuarat bilateral bersama Presiden Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA) Malcolm Turnbull, sempena Kongres Tenaga Hidro Dunia 2023 di Bali Nusa Dua Convention Center di Bali, Indonesia hari ini.

Dalam mesyuarat itu, Abang Johari berkata beliau telah berkongsi mengenai kelebihan Sarawak yang memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang besar, khususnya dalam penjanaan tenaga elektrik.

Beliau berkata dengan sungai yang banyak dan taburan hujan yang tinggi, Sarawak dapat menjana tenaga elektrik secara lestari menerusi empangan hidroelektrik. Sungai juga boleh dikaji sebagai alternatif kepada sumber takungan untuk penjanaan tenaga hidro.

-- BERNAMA