IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terpaksa menganggung kerugian lebih RM135,000 selepas bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak dipecah masuk, Selasa lalu. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kejadian itu disedari ketika pihaknya menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi persiapan menghadapi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang dijadualkan berlangsung mulai 25 Februari ini.

Menurutnya, pihaknya mendapati bilik High Mast Pole 3 telah dipecah masuk.

"Hampir keseluruhan kabel telah dipotong dan komponen lampu limpah telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Menurutnya, laporan telah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis. 

Tambahnya, susulan kejadian itu, MBI telah memperketatkan kawalan keselamatan di seluruh kawasan stadium.

"Kerja-kerja pembaikan telah bermula bagi membolehkan perlawanan pertama pasukan Perak FC menentang Kedah Darul Aman FC pada Liga Super diadakan mengikut jadual," katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kejadian kecurian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.