KLANG: Rayuan pegawai kesihatan kontrak agar mereka boleh diserapkan terus ke dalam perkhidmatan awam, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, terdapat beberapa aspek yang perlu diperincikan supaya satu keputusan yang munasabah dapat dicapai.

Perdana Menteri berkata, antara faktor yang perlu diperhalusi ialah soal kos serta kekangan kewangan yang dihadapi Kerajaan untuk menyerap kesemua doktor kontrak yang terlibat.

“Ada rayuan oleh doktor kontrak.. saya cuma nak sebut, kertas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.  Mereka minta supaya jawatan (kontrak) mereka ditukar kepada jawatan tetap.

“Saya dah minta supaya dibawa ke Jemaah Menteri, bincang apa keputusan munasabah, (kerana) kehendak itu menyebabkan kos tinggi.. memerlukan RM2 bilion, ada batasan sedikit. Tetapi kita tengok macam mana keadaan itu kita dapat diatasi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai membuat lawatan mengejut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini berkata, mereka sedia mematuhi segala keputusan kerajaan berhubung isu pegawai kesihatan kontrak, yang dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Pengerusi Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) Dr Vijay Ganasan berkata, persatuan itu telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan minggu lepas dan dimaklumkan bahawa isu itu akan dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet nanti.

Beliau berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan menampilkan satu penyelesaian jangka panjang semasa di persidangan Parlimen nanti.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, usaha berterusan akan dibuat untuk menambahkan bilangan pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan dan lain-lain, khususnya di Lembah Klang.

“Dalam hubungan ini, KKM akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kadar segera.

Mobilisasi kakitangan sama ada petugas kesihatan dan bukan kesihatan akan dibuat dari negeri tertentu ke Lembah Klang dengan kadar segera. Saya meminta KKM untuk menguruskan perkara ini dengan segera,” katanya lagi.