Skip to main content

Malaysia

Liga Super: Imigresen kongsi satu mata dengan Melaka FC

SEREMBAN, 16 Mei -- Pemain Negeri Sembilan FC Kei Oshiro (kanan) bersaing mendapatkan bola dari pemain Kelantan The Real Warriors FC Muhammad Asraf Aliffuddin Yasin pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hari ini.  Keputusan penuh, Negeri Sembilan 2-1 Kelantan The Real Warriors FC.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain NSFC Kei Oshiro (kanan) bersaing mendapatkan bola dari pemain Kelantan TRW FC Muhammad Asraf Aliffuddin Yasin pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, malam tadi. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Imigresen FC (IFC) terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 dengan Melaka FC pada perlawanan terakhir Liga Super 2025/2026 di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis malam tadi.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada separuh masa pertama, sebelum Imigresen FC di bawah bimbingan Yusri Che Lah berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-46 menerusi Fayadh Zulkifli.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan hingga wisel penamat, apabila Dino Kalesic menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-60.

Usaha IFC untuk menambah jaringan sedikit terjejas apabila pemain importnya Eduardo Jose Sosa diarah keluar padang oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin pada minit ke-64, selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Bagaimanapun, Melaka FC gagal memanfaatkan kekurangan itu dan keputusan 1-1 terikat hingga tamat perlawanan.

Sementara itu di Seremban, Negeri Sembilan FC (NSFC) mencatat kemenangan 2-1  ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW) dalam aksi terakhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad Hobin Jang Hobin tampil lebih agresif sejak wisel permulaan dengan beberapa percubaan sebelum berjaya membuka jaringan pada minit kelapan menerusi tandukan kemas Ahmad Khuzaimi Piee yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan, Mohammad Fikri Che Soh.

Selang tiga minit, NSFC menambah jaringan menerusi Mio Tsuneyasu yang menyudahkan rembatan Joseph Esso yang sebelum itu terkena tiang untuk gol kedua tuan rumah.

Kelantan TRW berjaya merapatkan jurang menerusi Muhammad Asraf Aliffuddin Yasin hasil hantaran tepat Muhammad Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-27.

NSFC berpeluang menambah jaringan namun sepakan penalti yang diperoleh gagal disempurnakan Esso sebelum tamat separuh masa pertama.

Skuad kendalian K Rajan itu terus mengasak pada babak kedua perlawanan namun, disiplin pertahanan Kelantan TRW menyukarkan percubaan mereka dan kedudukan 2-1 kekal hingga lengkap perlawanan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video