Skip to main content

Malaysia

KBS akan bincang cadangan pelaksanaan model 'pay-per-view' MFL

Sumber: BERNAMA
Dr Mohammed Taufiq (tengah) ketika bertemu pengamal media pada Program Tayangan Skrin Besar bersama Menteri Belia dan Sukan, sempena perlawanan akhir The Emirates FA Cup 2026 antara Manchester City dengan Chelsea di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor Bahru, 16 Mei 2026. --fotoBERNAMA

JOHOR BAHRU: Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung cadangan pelaksanaan model “pay-per-view” atau bayar untuk tontonan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Menteri berkenaan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata perkara itu akan diteliti secara menyeluruh termasuk kesannya terhadap pembangunan bola sepak tempatan.

“Kita akan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut, dan saya akan maklumkan kemudian,” katanya ringkas ketika diminta mengulas cadangan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sesi Tayangan Skrin Besar bersempena dengan perlawanan akhir Piala FA Emirates 2026 antara Manchester City dan Chelsea di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Sebelum ini, Pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan agar model itu diperkenal sebagai langkah strategik untuk mengembalikan bola sepak kepada rakyat dan memperkukuh kewangan Liga Malaysia.

Melalui platform langganan digital yang dibangunkan oleh MFL, penyokong berpeluang menonton perlawanan secara langsung sambil menyumbang kepada sumber pendapatan liga dan kelab.

Cadangan itu dilihat mampu menjadi penyelesaian kepada isu semasa termasuk kekangan hak siaran, peningkatan kos operasi dan agihan pendapatan yang rendah kepada kelab.

Berdasarkan unjuran, model berkenaan berpotensi menjana sehingga RM180 juta setahun dengan sasaran sejuta pelanggan pada kadar langganan RM15 sebulan.

Berhubung desakan kerakyatan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, Dr Mohammed Taufiq berkata  pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Kita serahkan kepada pihak KDN serta persatuan... ia bukan dalam bidang kuasa KBS... Menteri pun dah mengulas perkara berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video