Kabinet telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan membantu Sabah dalam meningkatkan keselamatan bot terutamanya melibatkan pelancongan bagi memastikan tragedi bot karam tidak berulang.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementeriannya akan membantu Kerajaan Negeri Sabah dari segi siasatan kejadian bot karam sebelum ini selain memperbaiki langkah-langkah keselamatan untuk bot di negeri itu.

"Kabinet amat sedih dan memandang berat tentang isu bot karam ini, serta telah berbincang panjang lebar bagaimana untuk memastikan insiden ini tidak berlaku lagi.

Selain membantu mengetatkan penguatkuasaan, kementerian akan membantu bagaimana untuk mengetatkan peraturan terhadap bot dan jeti-jeti di kawasan pelancongan Sabah itu," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Terdahulu beliau merasmikan Perarakan Wang Kang 2017 di Tokong Cheng Wang di Kandang di sini hari ini.

Dalam tragedi 10 pagi 28 Jan lepas, bot pelancong yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, Sabah.

Liow berkata bot kecil yang digunakan dalam aktiviti pelancongan di negeri itu adalah di bawah kerajaan negeri dan bukan di bawah Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata usaha perlu dilakukan supaya keselamatan pelancong yang datang ke negara ini dapat ditingkatkan kerana tragedi bot karam seperti itu akan menjejaskan nama baik negara dan industri pelancongannya.

"Kita juga akan pastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden ini dibawa ke mahkamah dan pastikan mereka yang abaikan keselamatan pelancong dikenakan tindakan tegas," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 3,000 orang akan menyertai Perarakan Wang Kang sejauh 77 kilometer di sekitar negeri ini bermula pagi tadi.

Katanya perarakan Wang Kang itu merupakan perarakan kapal yang bertujuan menghapuskan elemen negatif dan mendoakan kesejahteraan rakyat serta negara ini.

-- BERNAMA