Ringkasan AI
- DAP memberi autonomi penuh kepada DAP Sarawak untuk menentukan jumlah kerusi, calon dan strategi bagi PRN Sarawak akan datang.
- Pusat akan terus menyokong gerak kerja jentera parti di Sarawak, dengan pengumuman perincian dibuat oleh kepimpinan negeri pada masa sesuai.
- Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRN Sarawak pada 12 Disember, manakala undi awal pada 8 Disember.
KLUANG: DAP memberikan autonomi penuh kepada kepimpinan DAP Sarawak untuk menentukan jumlah kerusi, calon serta strategi parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata selepas mengharungi PRN Melaka, fokus parti itu kini beralih kepada persiapan menghadapi pilihan raya di Bumi Kenyalang yang penamaan calonnya dijadualkan pada 28 Nov.
“Segala keputusan berkenaan dengan PRN Sarawak ditentukan oleh DAP Sarawak. Ini memang dari segi autonomi parti kita diberikan kepada DAP Sarawak untuk membuat keputusan dari segi bilangan kerusi, calon dan strategi,” katanya pada sidang media Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata kepimpinan pusat akan terus memberikan sokongan padu bagi memastikan kelancaran gerak kerja jentera parti di Sarawak.
Ditanya mengenai unjuran kerusi serta cabaran pilihan raya di negeri itu, Loke berkata segala perincian mengenainya akan diumumkan oleh kepimpinan DAP Sarawak pada masa yang sesuai.
“Tentu ada pihak bertanya adakah ia pilihan raya yang sukar? Definitely, semua pilihan raya adalah sukar, tiada pilihan raya yang mudah,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian PRN Sarawak, manakala undi awal pada 8 Dis.
-- BERNAMA