Ringkasan AI
- Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, menjelaskan sumber dana RM50 juta untuk membayar denda Datuk Seri Najib Razak.
- AMK menyatakan kebimbangan penderma terhadap kemungkinan audit oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas dana tersebut.
- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan kutipan dana dilakukan secara crowdfunding melibatkan ahli, bukan ahli, dan pelbagai peringkat UMNO.
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, menjelaskan secara terperinci sumber dana RM50 juta yang diperoleh UMNO bagi membayar denda dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata Armand Azha perlu berani memberikan penjelasan berhubung sumber dana berkenaan meskipun perkara itu mungkin menimbulkan persoalan lanjut terhadap pihak terbabit.
“Kami mendapat maklumat bahawa banyak pihak yang menderma untuk dana berkenaan kini berada dalam kerisauan dan kegelisahan sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan audit.
“Justeru, kami turut mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa Armand Azha, termasuk konco-konconya dalam UMNO, akan turut merasa lebih ‘kepanasan’ untuk menceritakan sumber mana yang mereka gunakan bagi membayar denda RM50 juta itu,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menggesa BNM dan SPRM menjalankan audit terhadap dana RM50 juta yang diperoleh UMNO bagi membayar denda dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Dalam pada itu, Muhammad Iman berkata Armand Azha sepatutnya melihat dan menilai diri sendiri terlebih dahulu sebelum melemparkan kata-kata negatif terhadap pemimpin negara.
Beliau turut menggesa Armand Azha menghentikan penggunaan kata-kata berbaur cacian dan makian terhadap pemimpin negara.
Pada 10 November lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu bersedia membuka semua maklumat terperinci berhubung kutipan sumbangan RM50 juta yang digunakan bagi membayar denda Najib.
Tegasnya, kutipan berkenaan dibuat menerusi kaedah pendanaan awam (crowdfunding) dan melibatkan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli dan bukan ahli UMNO, selain cawangan, bahagian serta perhubungan UMNO negeri.
Pembayaran itu antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.