KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan barisan jemaah menteri untuk mengadakan sesi libat urus Belanjawan 2024 selama sebulan bermula pertengahan Ogos ini sehingga September depan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

"Perdana Menteri telah mengarahkan supaya semua menteri dan timbalan menteri di setiap kementerian untuk mengadakan sesi libat urus di bawah kapasiti masing-masing untuk mengetahui apa yang diperlukan di peringkat kementerian untuk menambahbaik bantuan kepada rakyat dan pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas Program "Ekonomi Madani, Memperkasa Rakyat" terbitan Bernama Radio, di sini hari ini.

Bagi sesi libat urus di peringkat negeri pula, Ahmad berkata beliau dan Perdana Menteri akan turun ke beberapa buah negeri untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat.

"Ini tentunya menjadikan Balanjawan 2024 sebagai Belanjawan MADANI dan Belanjawan Rakyat," katanya.

Belanjawan 2024 akan terus memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, bantuan-bantuan akan diteruskan serta ditambah baik, begitu juga pembangunan prasarana negara.

Belanjawan 2024 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober ini.

-- BERNAMA