KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan, Kabinet telah meluluskan sebuah memorandum agar Rukun Negara dilafazkan secara penuh.

Aaron berkata, ia perlu bermula dengan mukadimah sebelum disusuli dengan lima prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara.

Beliau menjelaskan pihaknya berharap semangat perpaduan dapat diterapkan menerusi penghayatan Rukun Negara.

"Cita-cita kita untuk Rukun Negara dilafaz dengan penuh dimulakan dengan cita-cita atau mukadimah sebelum dibacakan lima prinsip Rukun Negara.

"Itu yang kita nak kerana penghayatannya amat penting. Kalau kita baca prinsip sahaja, mungkin it's a bit sketchy.

"Kita telah bawa memorandum ke Kabinet dan telah diluluskan supaya lafaz Rukun Negara mula dari mukadimah kepada prinsip," katanya selepas menghadiri Program Eksplorasi Rukun Negara pada Isnin.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga berhasrat mengadakan kempen budi bahasa dengan mencoret kata-kata positif di sekolah untuk menyemarakkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Selain itu, terjemahan visual eksplorasi Rukun Negara juga boleh diterjemahkan menerusi lukisan mural di dinding sekolah.