SUBANG: Kerajaan meluluskan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP), yang akan melonjakkan status lapangan terbang itu menjadi hab aeroangkasa dan penerbangan serantau.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelan penjanaan semula itu dijangka meningkatkan kapasiti semasa lapangan terbang itu kepada lapan juta penumpang setahun, sekaligus menjadi pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jelas beliau, kelulusan tersebut diputuskan oleh Jemaah Kabinet pada 2 Februari lalu selepas pembentangan cadangan pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang dibangunkan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Jelas Loke, pelan penjanaan semula itu dijangka meningkatkan kapasiti semasa lapangan terbang itu kepada lapan juta penumpang setahun, dan menjadi pelengkap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Untuk berlaku adil kepada MAHB, mereka telah mengkaji (cadangan) ini beberapa tahun sejak kerajaan terdahulu lagi.

"Akhirnya, ia telah diputuskan dan saya gembira kerana dapat membentangkannya di Kabinet, dan mendapatkan kelulusan. Jadi rancangan itu telah dirangka mengikut hala tuju dasar, dan kini terpulang kepada MAHB untuk merangka pelan perniagaan mereka," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Jelas Loke, MAHB diberi tempoh sehingga April depan untuk merangka pelan pelaksanaan SARP itu, yang perlu dibentangkan semula kepada Kabinet untuk kelulusan.

Katanya, anggaran kos pembangunan semula LTSAAS akan diumumkan selepas pelan terperinci berkenaan siap dibentangkan.

"Pembangunan LTSAAS ini akan memberi fokus pada pembangunan ekosistem aeroangkasa, penerbangan am dan penerbangan perniagaan (GA/BA) dan lapangan terbang bandar atau sekunder.

"Ekosistem yang akan dibangunkan di LTSAAS membabitkan tujuh komponen iaitu pusat industri aeroangkasa, pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pusat penyelidikan dan pembangunan, operasi GA, operasi BA, mobiliti udara bandar (UAM) dan operasi penerbangan komersial serantau," ujarnya.

Ahli Parlimen Serembang itu menambah, penerbangan berjadual menggunakan pesawat propeller dan turboprop akan dikekalkan berikutan permintaan pasaran terhadap perkhidmatan itu dijangka berterusan serta positif.