KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat keputusan membenarkan arak jenama tempatan, Timah yang sebelum ini mencetus kontroversi untuk mengekalkan nama itu.

Perkara itu diputuskan oleh Kabinet dan dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini.

Dalam kenyataan media berbahasa Cina di laman Facebooknya pada Sabtu, Ka Siong berkata, kontroversi penggunaan nama Timah pada minuman keras itu telah diselesaikan oleh Kabinet baru-baru ini.

"Dalam beberapa mesyuarat Kabinet baru-baru ini, anggota jemaah menteri membincangkan perkembangan terkini isu Timah.

"Saya gembira insiden ini berjaya diselesaikan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

"Timah tidak perlu menukar namanya. Pengilang telah bersetuju untuk memasukkan penjelasan tentang asal usul (nama) Timah. Maksud asal Timah merujuk kepada bijih timah - yang berkaitan dengan perlombongan bijih timah,” kata Ka Siong seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

BACA: Isu arak Timah: Masyarakat perlu dididik berfikiran lebih logik - Azalina

BACA: Isu arak 'Timah': Malaysia negara berbilang bangsa, agama, semua pihak perlu sensitif - Salahuddin

Sebelum Ka Siong, media turut melaporkan kenyataan sama daripada Nanta Linggi yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengalu-alukan keputusan Kabinet yang mengekalkan nama berkenaan.

Menurutnya, penghargaan harus diberikan kepada orang awam dan media yang membangkitkan isu tersebut sebelum ini.

"Tidak perlu sebenarnya untuk menteri membincangkan nama arak Timah. Kita menjadi bahan ketawa dunia, berdebat kerana nama arak

"Saya gesa pihak berkuasa tidak menangguhkan atau bermain politik. Sekarang adalah masa untuk tamatkan episod ini," ujarnya.