KAJANG: Kabinet telah berbincang mengenai desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Advertisement
“Kita sudah bincang elok tadi (dalam mesyuarat Kabinet), nanti akan ada kenyataan,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Bandar Kajang selepas solat Jumaat sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan desakan berterusan DAP supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat kontroversi pemilikan saham melibatkan Azam serta dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam SPRM.
Pada Rabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memaklumkan Kabinet telah membincangkan dakwaan terkini melibatkan SPRM dan bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat Azam berhubung kontroversi pemilikan sahamnya.
Bagaimanapun, Loke berkata, langkah itu sahaja tidak mencukupi.
Loke turut berpendapat dakwaan mengenai ‘mafia korporat’ merupakan isu yang jauh lebih serius berbanding kontroversi pemilikan saham.
Pada 13 Februari lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan untuk menyiasat isu pemilikan saham Azam yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Terdahulu, Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Azam menerusi sidang media khas pada 11 Februari lalu menegaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur.