IPOH: Perak sedang dalam proses perbincangan untuk membolehkan pemegang kad Perak Prihatin dan Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) menggunakan kemudahan itu di Kedai Bergerak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata usaha itu dibuat bagi menyasarkan lebih ramai golongan B40 menikmati harga istimewa, khususnya dengan kenaikan harga barang bermula 1 Julai ini.

"Memang di Perak kita ada dua buah kedai bergerak di kawasan luar bandar. Setakat ini kita ada berbincang dengan pihak berkaitan untuk membolehkan penerima atau pemegang kad tersebut atau kad Kasih Ibu, membeli barangan di situ menggunakan kad.

"Jadi ini salah satu cara untuk kita fokus kepada golongan sasaran menikmatinya. Begitu juga kita adakan potongan harga, diskaun khusus untuk orang kelainan upaya bagi menggalakkan lebih ramai B40 menikmati harga istimewa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Perasmian Hari Bapa Peringkat Negeri Perak Tahun 2022, di sini pada Khamis.

Dr Wan Norashikin berkata setakat ini kedai bergerak di Perak sememangnya dikhususkan untuk rakyat membeli barang keperluan dengan tawaran harga istimewa.

Justeru katanya, dengan adanya kemudahan menggunakan kad Perak Prihatin dan Kasih Ibu Darul Ridzuan itu nanti, ia bakal menjadi nilai tambah kepada kedai bergerak berkenaan.

"Sekarang sistem kewangan tidak sama  jadi mereka sedang kemas kini sistem supaya kad itu dapat digunakan di kedai bergerak.

"Apabila perkara itu dicapai maksudnya golongan sasaran itu dapat menikmati apa yang ada di kedai bergerak, katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, Kerajaan Perak bercadang untuk menambah bilangan Kedai Bergerak bagi meringankan beban rakyat susulan pengumuman pemansuhan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol, mulai 1 Julai ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata usaha itu bertujuan menambah kekerapan perkhidmatan itu ke penempatan penduduk, terutama di luar bandar.

Katanya, program kedai bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi menjual barang pada harga yang jauh lebih rendah itu mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat sebelum ini.

Kad Perak Prihatin di bawah program Perak Prihatin merupakan inisiatif disasarkan terhadap keluarga berpendapatan rendah, miskin, dan miskin tegar yang merangkumi skim bantuan pembelian barangan asas dan rawatan perubatan tahunan.

Manakala, KIDR yang merupakan inisiatif oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ialah kad prabayar auto tambah nilai pada setiap bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas di kedai serta pasar raya terpilih selain daripada rawatan kesihatan di klinik panel berdaftar.