KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengumumkan kenaikan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau yang terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan hasil Mesyuarat JPBP yang dipengerusikannya pada Isnin itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana dan impak ekonomi rakyat akibat pandemik COVID-19.

"Inisiatif Bantuan Wang Ihsan ini dijangka akan meringankan beban lebih 39,100 Ketua Isi Rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

"Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Langkah itu juga merupakan antara pendekatan baharu Kerajaan dalam menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal November 2021 sehingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri seperti Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak.

Mengulas lanjut, kata Ismail Sabri, dalam lawatan kerja rasminya ke Sabah pada Khamis, beliau turut mengumumkan  Peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Sabah, berjumlah RM 18,241,250 bertujuan melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa dipelihara.

"Peruntukan ini adalah bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000), Pembelian 2,500 unit C-Tent (RM961,250), Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (RM20,000), Operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1,100,000) dan Pengurusan operasi COVID-19 di
negeri Sabah (RM16,000,000)," ujarnya.



Perdana Menteri juga berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk
pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam.

Selain itu, atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana Monsun Timur Laut sepanjang tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah
RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.