Penilai bebas akan kemuka laporan Aerotrain pada pertengahan Januari 2026 - MAHB

MAHB berkongsi perkembangan terkini mengenai CAP yang diperkenalkan bagi menangani kebimbangan kebolehpercayaan terhadap sistem Aerotrain KLIA. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan dua penilai bebas, Alstom dan IJMC-PESTECH yang menyemak reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan Aerotrain, serta dijangka mengemukakan laporan mereka menjelang pertengahan Januari 2026.
Manakala status terkini rasmi seterusnya mengenai Aerotrain akan dikongsi pada Januari 2026.
"Sementara itu, Aerotrain terus beroperasi seperti biasa setiap hari. Bagi memastikan pergerakan penumpang tidak terganggu, perkhidmatan bas ulang-alik penuh akan digunakan pada waktu luar puncak setiap malam (9 malam hingga 7 pagi) untuk memudahkan kerja-kerja pemeriksaan yang sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MAHB hari ini berkongsi perkembangan terkini mengenai pelan tindakan komprehensif (CAP) yang diperkenalkan bagi menangani kebimbangan kebolehpercayaan terhadap sistem Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
CAP yang bermula pada 15 November 2025, diketuai oleh MAHB, dengan penglibatan penuh kontraktor usaha sama Alstom dan IJMC-PESTECH, perunding projek dan penilai teknikal bebas.
"Peringkat 1 dan Peringkat 2, yang melibatkan pemeriksaan keseluruhan, kerja-kerja pembetulan dan pengujian simulasi, telah disiapkan. Kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan sedang dijalankan bagi memastikan integriti sistem dan keselamatan operasi.
"Operasi percubaan Peringkat 3 kini akan bermula seperti yang dirancang dan berterusan sehingga akhir Disember, yang mana sistem akan diuji di bawah pelbagai senario operasi. Ujian percubaan ini merupakan langkah penting dalam mengesahkan keberkesanan langkah pembaikan sebelum keyakinan operasi sepenuhnya dipulihkan," demikian menurut kenyataan itu.
MAHB kekal komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang sambil mendukung piawaian operasi tertinggi.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang atas kerjasama mereka sepanjang tempoh ini," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


