KUALA LUMPUR: Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan baru-baru ini sepatutnya lebih tinggi pada 6.7 peratus berbanding 6.1 peratus jika tiada pengeluaran simpanan oleh ahli-ahlinya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata dividen tambahan sebanyak RM5.4 bilion itu sebaliknya boleh diagihkan kepada semua ahli dana persaraan sekiranya tiada pengeluaran dibuat sebelum ini.

"Jumlah kehilangan RM5.4 bilion itu telah menyebabkan lebih kurang 5.3 juta ahli yang tidak pernah mengeluarkan simpanan melalui mana-mana skim pengeluaran, terpaksa menerima pulangan simpanan lebih rendah.

"Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat sekelian yang juga mewakili pencarum yang tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka...adakah ini adil?" kata beliau ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Secara keseluruhan, ahli KWSP mempunyai akses bagi sehingga RM71,000 dalam dana persaraan itu melalui tiga program pengeluaran khas iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang telah memberi manfaat kepada lebih 7.3 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.7 juta ahli dengan pengeluaran berjumlah RM101 bilion.

Menurut Tengku Zafrul, walaupun inisiatif tersebut meringankan beban ahli yang memerlukannya, namun pengeluaran khas terbabit telah mengakibatkan pengurangan simpanan persaraan yang ketara.

Beliau berkata, susulan pengeluaran sebanyak RM101 bilion tersebut, seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus di bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

"Sekiranya dibenarkan pengeluaran RM10,000 secara 'one-off,' bilangan ahli layak membuat pengeluaran dijangkakan seramai 6.3 juta ahli yang melibatkan pengeluaran tambahan berjumlah lebih RM63 bilion.

"Jika pengeluaran tambahan ini dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan imbangan portfolio dengan impaknya yang mungkin lebih daripada nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion," katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan, bagi menampung nilai pengeluaran RM63 bilion itu, KWSP perlu mengambil tindakan seperti menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran tidak menentu terutamanya susulan krisis Rusia-Ukraine, menghentikan pelaburan dalam negara bagi tempoh jangka pendek dan sederhana dalam masa tiga hingga enam bulan.

Malah, tegas beliau, langkah itu akan terus memberi impak negatif ke atas pasaran saham dan bon tempatan termasuk kadar faedah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang meningkat dalam kadar purata 100 mata asas berbanding suku ketiga 2020 serta menyebabkan kos pinjaman bagi kerajaan di masa hadapan meningkat secara ketara.

Menurutnya, ini akan turut menjejaskan kedudukan KWSP sebagai pemegang tunggal terbesar MGS dengan pegangan RM240 bilion atau hampir 27 peratus daripada nilai keseluruhan dalam pasaran bon berkenaan.

-- BERNAMA