KUALA LUMPUR: Sejumlah 84.3 peratus atau 6.96 juta pengguna kategori perumahan di Semenanjung tidak terjejas dan masih tidak dikenakan cukai perkhidmatan yang dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus  berkuat kuasa mulai 1 Mac.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan berkata, cukai perkhidmatan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600 kilowatt jam (kWj) bagi perkhidmatan elektrik.

Jelas kementerian berkenaan, sekitar 15.7 peratus atau 1.29 juta pengguna kategori perumahan yang menggunakan elektrik melebihi 600kWj.

Berdasarkan jumlah berkenaan, PETRA menambah pengguna kategori perumahan terbabit akan mengalami  kenaikan bil bulanan antara 0.01 sen hingga RM45.48 sebulan atau kosong peratus hingga 1.66 peratus sebulan.

"Subsidi yang dilaksanakan secara bersasar ini merupakan antara pendekatan Kerajaan dalam memastikan subsidi diberikan kepada rakyat yang memerlukan.

"Pengguna disaran untuk merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan," kata kementerian itu pada Khamis.

Mengulas lanjut, PETRA berkata pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang myelectricitybill.my.

Selain itu, kementerian tersebut turut menggalakkan para pengguna mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah melalui penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga.

"Beberapa langkah untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, antaranya melaksanakan audit penggunaan tenaga dengan cara memantau dan menganalisa penggunaan tenaga elektrik serta mengenal pasti peralatan, proses dan sistem yang boleh ditambah baik.

"Membeli atau menggantikan peralatan elektrik di rumah dengan menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai penarafan lima atau empat bintang supaya ia dapat memberi lebih banyak penjimatan tenaga elektrik, serta melaksanakan penyelenggaraan secara berkala mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran tenaga elektrik," kata PETRA.

Menurut Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari 2024, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar lapan peratus.

Begitu pun, cukai perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat.