PUTRAJAYA: Inflasi Malaysia terus pada kekal 1.5 peratus, kadar yang sama sejak November 2023 dengan mata indeks mencatatkan 131.4 berbanding 129.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5 peratus.  

Namun, beliau berkata, enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7%), Sarawak (1.9%), Selangor (1.8%), Pulau Pinang (1.8%), Pahang (1.7%), dan Perlis (1.6%).

Katanya lagi, kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (3.6 peratus), diikuti Pahang (3.0%), dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.8%).

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan & Minuman nasional iaitu 2.0 peratus pada Januari 2024.

“Peningkatan inflasi pada Januari 2024 telah didorong oleh peningkatan perlahan Restoran & Perkhidmatan Penginapan (3.2%); Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.5%); Kesihatan (2.4%); Makanan & Minuman (2.0%); dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (2.0%).

“Manakala, kumpulan Pengangkutan merekodkan peningkatan inflasi rendah (0.7%) berbanding bulan Disember 2023 (0.3%).

"Kumpulan Makanan & Minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP masih mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 2.0 peratus pada Januari 2024 (Disember 2023: 2.3%),” katanya lagi.

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, Mohd Uzir berkata, inflasi di Malaysia (1.5%) adalah lebih rendah berbanding Amerika Syarikat (3.1%), Filipina (2.8%), Republik Korea (2.8%), Zon Euro(2.8%), dan Indonesia (2.6%).

Namun, tambahnya, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (-1.1%) dan China (-0.8%).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, bermula keluaran Januari 2024, bakul barangan dan perkhidmatan Indeks Harga Pengguna telah dikemas kini berdasarkan Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dijalankan bagi tempoh 12 bulan rujukan iaitu dari Januari hingga Disember 2022.

Jelasnya, langkah itu disarankan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan merupakan amalan yang dilaksanakan oleh Organisasi Statistik Antarabangsa bagi memastikan statistik rasmi yang diterbitkan mencerminkan corak perbelanjaan terkini pengguna.

“Pengemaskinian bakul barangan dan perkhidmatan IHP ini turut mengambil kira pengelasan semula dan peluasan kod item termasuk penambahbaikan, pertukaran dan perubahan kod daripada 12 kumpulan utama sebelum ini kepada 13 kumpulan utama.

“Ini adalah selaras dengan garis panduan Classification of Individual Consumption According to Purpose (COICOP) terkini daripada United Nations yang diterbitkan pada Mac 2018.

"Penyusunan IHP  adalah berdasarkan Consumer  Price Index Manual (Concepts and Methods) 2020 oleh IMF,” katanya lagi.