JELI: Kadar kemajuan keseluruhan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap 2026 telah mencapai 29 peratus setakat ini, kata Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata angka itu menunjukkan kemajuan projek itu satu peratus lebih awal daripada jadual asal.

"Projek ini masih ada tempoh panjang dan ada beberapa isu belum selesai antaranya isu pengambilan tanah dan pembersihan tapak. Setakat ini kemajuan ECRL sudah mencapai 29 peratus.

"Kemajuannya cukup baik, namun (ada) isu paling kritikal antaranya perlukan kelulusan daripada kerajaan negeri berhubung tiga seksyen A (Kota Bharu ke Dungun) B (Dungun ke Temerloh) dan C (Temerloh ke Port Klang), kita masih menunggu kelulusan kerajaan Selangor.

"Sekiranya capai kelulusan maka keseluruhan projek ECRL akan dapat dilaksanakan (dengan segera) dan untuk memastikan tidak lari daripada penjadualan kita," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut, Mohd Zuki yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata bagi penyertaan kontraktor tempatan dalam projek berkenaan setakat ini, jumlahnya mencecah 12 peratus daripada 40 peratus sasaran yang ditetapkan pihaknya.

-- BERNAMA