IPOH: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa kadar migrasi bersih Perak pada tahun 2020 adalah -1.2, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut beliau, berdasarkan laporan itu, jumlah anak tempatan berhijrah ke luar Perak adalah seramai 12,800 orang menunjukkan peningkatan berbanding kemasukan ke negeri itu yang merekodkan 11,600 orang.

Katanya, angka itu menunjukkan situasi migrasi negeri Perak masih dalam keadaan terkawal.

“Namun, ia perlu diberi perhatian serius bagi menjamin sumber manusia negeri dapat dikekalkan untuk menyokong dan menggerakkan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Saarani berkata demikian sebagai menjawab soalan Yahaya Mat Nor (PH - Pasir Panjang) pada Persidangan Pertama Mesyuarat Kedua Tahun Kelima Dewan Negeri Yang Ke - 14, Perak Darul  Ridzuan, di sini, hari ini.

Kerajaan negeri juga, kata beliau, akan terus berusaha memperkukuhkan ekosistem berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja bagi memastikan rakyat Perak mendapat pekerjaan dan meningkatkan taraf sosioekonomi tanpa perlu berhijrah ke luar. 

Jelasnya, antara perancangan yang diatur ialah melalui Invest Perak untuk menarik minat tenaga pakar berkhidmat di negeri ini dengan mempelbagaikan aktiviti ekonomi khususnya, dalam menarik pelaburan berkualiti bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk memenuhi keperluan rakyat.

Dalam masa sama, kata Saarani, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dijadikan pemacu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berpotensi menembus ke pasaran pekerjaan dan memenuhi permintaan industri.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM4 juta pada tahun 2022 di bawah Jawatankuasa TVET Negeri Perak untuk melaksanakan program latihan kemahiran dalam mendaya upaya agenda ke arah satu warga satu kemahiran,” ujarnya.

Selain itu, kata Menteri Besar, kerajaan negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) juga secara berterusan menjalankan pelbagai bentuk program dan inisiatif dalam usaha untuk menghebahkan peluang-peluang pekerjaan yang wujud, terutamanya kepada graduan-graduan yang bakal menamatkan pengajian mereka.

“Insya-Allah, semua strategi dan pelan tindakan yang dirangka ini dapat mengukuhkan ekosistem bertepatan dengan keperluan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran bagi menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan pendapatan negeri,” tambah Saarani.