KUALA LUMPUR: Kadar pemberian vaksin di negara meningkat dengan mendadak pada Julai, jauh lebih baik daripada kadar vaksinasi yang direkodkan pada hujung Februari sehingga Jun lepas.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pada Februari hingga Jun, sebanyak lapan juta dos diberikan dalam tempoh tersebut.

Begitupun, pada Julai sahaja, pemberian vaksin sudah melebihi 10 juta dos, jelas beliau.

Tambah Khairy, pemberian vaksin pada Isnin dan Selasa juga melepasi angka 500,000 dos sehari dengan jumlah keseluruhan untuk kedua-dua hari itu ialah 1.07 juta dos.

“Pada Jun lalu, purata suntikan yang telah dicapai adalah 169,000 dos. Bagi bulan Julai, sasaran purata ditetapkan ialah 300,000 dos sehari. Sehingga semalam, purata dicapai pada Julai adalah 378,000 dos sehari.

“Ini bermakna berlaku peningkatan 124 peratus apabila dibandingkan kadar purata bulan Jun dan Julai sehingga semalam. Kadar pemberian vaksin sejak mulanya PICK dari Februari sampai Jun adalah sekitar 8 juta dos.

“Tetapi pada bulan Julai ini saja, sehingga hari ini, pemberian vaksin telah melebihi 10 juta dos. Kadar vaksinasi harian juga telah catatkan jumlah tertinggi semalam apabila 553,871 dos berjaya diberikan di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan berkaitan usaha vaksinasi rakyat Malaysia pada Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 di sini pada Rabu.

Menurut Khairy, pada Selasa lalu, lebih 356,000 orang menerima dos pertama dan lebih 197,000 menerima dos kedua manakala pada Isnin, lebih 512,000 dos diberikan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, sehingga 26 Julai lepas, jumlah vaksin diterima Malaysia adalah sebanyak 26.38 juta dos.

Menurutnya, sebanyak 23.88 juta dos diterima daripada pembekal menerusi perolehan kerajaan dan selebihnya melalui sumbangan daripada Jepun, Amerika Syarikat dan China.

“Selain bekalan vaksin diterima daripada perolehan kerajaan, Malaysia juga terima sumbangan vaksin daripada tiga negara.

“Tiga negara tersebut ialah Jepun yang diterima pada 1 Julai, Amerika Syarikat yang diterima pada 5 Julai serta China yang menyumbang Sinovac sebanyak 500,000 dos yang telah diterima pada 16 Julai.

“Jumlah vaksin diterima kerajaan daripada perolehan kerajan dan sumbangan negara lain adalah berjumlah 26.38 juta dos,” ujarnya.

Kata Khairy, kerajaan melalui Kementerian Luar sedang dalam perbincangan dengan negara lain yang telah menyatakan kesediaan untuk menyumbang vaksin kepada Malaysia seperti United Kingdom dan Arab Saudi.