Sebanyak 3.2 peratus kadar pengangguran di negara ini atau 510,000 orang dicatat setakat 31 Dis lepas, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata tarifan pada suku keempat tahun 2019 itu diambil daripada jumlah 19 juta penduduk dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun yang berada dalam pasaran buruh.

"Daripada 510,000 orang itu, mereka yang menganggur terdiri daripada yang masih belajar, tidak menawarkan diri untuk bekerja ataupun menjadi suri rumah dan yang telah bersara.

"Kami mendapati kebanyakan daripada mereka menganggur kurang daripada enam bulan, kemungkinan mereka sedang mencari pekerjaan, belum menemui pekerjaan yang sesuai ataupun menunggu jawapan daripada bakal majikan.

"Hanya 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pengangguran melebihi enam bulan dan kadarnya tidak terlalu tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan '14 volumes of the 728 papers' Proceeding at the 62nd ISI World Statistic Congress (WSC) 2019 di sini, pada Jumaat.

Pihaknya akan mengeluarkan statistik pengangguran suku tahun pertama 2020 pada bulan Mei ini, katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Jabatan Perangkaan Malaysia menyasarkan 30 peratus proses Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) dilakukan melalui dalam talian iaitu sistem E-Census 2020.

Sasaran itu lebih ditujukan kepada penduduk bandar yang faktor perkembangan semasa diambil kira oleh jabatan bagi mengumpul data dengan lebih efisien.

"Oleh kerana Hari Banci akan bermula pada 7 Julai, kami akan membuka sistem E-Census dua minggu lebih awal untuk mereka mengemukakan maklumat isi rumah dengan lebih tepat dan pada bila-bila masa.

"Bagaimanapun, proses bancian secara rumah ke rumah akan tetap diteruskan di kawasan tertentu terutamanya di bahagian luar bandar menggunakan tablet dan aplikasi telefon pintar," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan Malaysia melancarkan kesemua 14 jilid 728 kertas kerja yang dibentangkan pada ISI WSC 2019 ke-62 selepas menerima persetujuan daripada penulis untuk diterbitkan.

Mohd Uzir berkata kertas yang dibentangkan semasa kongres yang diadakan pada 18 hingga 23 Ogos tahun lepas itu adalah dalam bentuk 'Invited Paper Sessions' (IPS), 'Special Topic Sessions' (STS) dan 'Contributed Paper Sessions' (CPS).

"Merangkumi pelbagai topik dan disiplin daripada seluruh dunia, prosiding itu adalah cara untuk melibatkan diri dengan penyelidikan perintis sebelum penerbitan jurnal rasmi, serta menghasilkan idea baharu, konsep dan teknik dalam bidang yang belum dibangunkan sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA