ISKANDAR PUTERI: Kadar pengangguran di Johor bagi suku pertama tahun ini menurun 0.7 peratus kepada 3.2 peratus berbanding 3.9 peratus yang direkodkan pada suku pertama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata bilangan penganggur di negeri ini pada suku pertama tahun ini turut mencatatkan penurunan kepada 58,600 orang berbanding 70,800 orang pada tempoh sama tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau berkata Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor telah dan sedang giat mengadakan Program Latihan Kemahiran Johor, Program Gerak Kerjaya Johor dan juga hebahan jawatan kosong sepanjang tahun di platform media sosial jabatan sebagai inisiatif menghebahkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

"Pada tahun ini, menerusi Program Latihan Kemahiran Johor (Pro Mahir), unit SMI menyasarkan sebanyak 1,169 orang akan mendapat manfaat daripada penyertaan kursus kemahiran dalam pelbagai bidang dan peluang penempatan pekerjaan," katanya ketika menjawab soalan Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Aznan ingin tahu kadar pengangguran di Johor bagi tempoh suku pertama 2022 serta langkah-langkah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Selain itu, beliau berkata menerusi Program Gerak Kerjaya Johor (GKJ) yang diadakan bulan lepas, SMI Johor telah menganjurkan temu duga terbuka dengan menawarkan 883 jawatan kosong melibatkan penyertaan lapan majikan iaitu Aegis BPO Malaysia Sdn Bhd, GKN Engine Systems Component Repair Sdn Bhd, Hotel Holiday Inn Johor, Hotel Jen Johor Puteri Harbour, Hotel Renaissance, Jvckenwood Sdn Bhd, MyBrush Group of Companies dan Tanjong Puteri Golf Resort.

"Program Gerak Kerjaya Johor ini akan diadakan untuk Zon Tengah iaitu di Kluang pada Julai, Zon Utara di Muar (Ogos) dan Zon Selatan di Johor Bahru (September).

"Selain itu, Unit SMI juga giat membuat hebahan jawatan kosong di platform media sosial...sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 623 jawatan kosong telah diiklankan dan dihebahkan yang turut melibatkan majikan daripada sektor pembuatan iaitu Jacobs Douwe Egberts, sektor hospitaliti dan pelancongan iaitu Legoland Malaysia Resort, sektor peruncitan iaitu 99 Speedmart, sektor teknologi dron iaitu Meraque Services Sdn Bhd dan banyak lagi," katanya.

-- BERNAMA