KUALA LUMPUR: Kadar sara diri (SSR) bagi bekalan lapan komoditi makanan utama negara pada 2022 seperti beras mencatatkan 62.6 peratus, sayur (44.7 peratus), buah-buahan (78.1 peratus), daging lembu (14.7 peratus) dan daging ayam serta itik (94.4 peratus).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata SSR bagi telur ayam dan itik pula 108.9 peratus, susu segar (57.3 peratus) dan ikan makanan (90.2 peratus).

Selain itu, beliau berkata bagi menambah baik SSR dan meningkatkan keterjaminan makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) antara lain memfokuskan kepada aspek mempertingkatkan produktiviti padi menerusi Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), iaitu Model Mini Sekinchan dan projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

"Matlamat pelaksanaan Program SMART SBB adalah untuk mencapai SSR beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 dan 80 peratus menjelang 2030," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), mengenai jenis tanaman serta ternakan yang sedang diberikan tumpuan untuk menambah baik SSR, bagi meningkatkan keterjaminan dan mengurangkan kebergantungan import makanan.

Selain itu, Chan berkata KPKM memberi tumpuan untuk meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran seperti halia, kubis dan cili serta buah-buahan seperti kelapa.

Beliau berkata menerusi Dasar Agromakanan Negara 2.0, KPKM menyasarkan SSR buah-buahan dan sayur-sayuran masing-masing sebanyak 83 peratus dan 79 peratus, menjelang 2030.

Bagi perikanan, beliau berkata kementerian akan memperkasakan pengeluaran ikan makanan melalui akuakultur, yang menyasarkan pengeluaran akuakultur berbanding perikanan tangkapan pada nisbah 60:40.

-- BERNAMA