KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kadar ujian saringan COVID-19 di Malaysia mencukupi untuk menentukan kadar jangkitan harian COVID-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini kadar tersebut berada di paras empat peratus daripada sasaran kurang lima peratus yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tambah Dr Noor Hisham, keupayaan makmal awam dan swasta menjalankan ujian RT-PCR adalah sebanyak 76,805 ujian sehari.

"Tetapi kalau kita melihat kepada gelombang ketiga, jangkitan mungkin lebih kalau dibandingkan dengan gelombang kedua.

"Tetapi dengan kita menggunakan petunjuk WHO iaitu kalau satu jangkitan positif, tanda aras yang telah ditetapkan oleh WHO sekurang-kurang 10 kes negatif.

"Jadi semalam kita ada 4,000 kes contohnya, jadi kita sepatutnya melakukan ujian ialah 40,000. Tetapi semalam kita menjalankan 63,457 ujian di mana kita ada keupayaan RT PCR, di mana sekarang ini ada 68 makmal awam dan swasta," katanya, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian pada sesi Libat Urus Darurat COVID-19 Bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Siri 2/2021: Ujian Pengesanan COVId-19 dan Kesiapsiagaan Makmal Kementerian Kesihatan Malaysia, pada Jumaat.

Turut sama ialah Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Dr Hani Mat Hussin; Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Suresh Kumar Chidambaram; dan Ketua Unit Virologi Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Ravindran Thayan.

Dr Noor Hisham diminta mengulas mengenai pandangan pakar kesihatan awam memaklumkan kadar kes jangkitan harian tidak memberikan gambaran sebenar.

Sebaliknya, ia bergantung kepada kadar ujian saringan yang dilaksanakan di negara ini.

Selain ujian saringan, Dr Noor Hisham berkata KKM turut menggunakan lima petunjuk lagi dalam menentukan status semasa keadaan jangkitan dalam negara.

Katanya, ia termasuk kes harian; kadar kebolehjangkitan; kadar kematian; keupayaan penggunaan fasiliti termasuk katil serta kes jangkitan melibatkan petugas barisan hadapan.

Jelasnya,  sebanyak 100 hospital swasta telah bersetuju untuk merawat pesakit COVID-19, dengan tambahan sebanyak 1,346 katil dan 64 alat bantuan pernafasan.

Berhubung kes jangkitan COVID-19 melibatkan petugas barisan hadapan pula, Dr Noor Hisham berkata, kes melibatkan petugas kesihatan meningkat kepada 4,756.

Manakala, seramai 936 kes positif dikesan melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setakat Januari 2021, lebih 6.33 juta ujian saringan COVID-19 telah dilaksanakan di seluruh negara sejak kes pertama dikesan pada Januari tahun lalu.