KUALA LUMPUR: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) meminta UMNO untuk campur tangan dalam isu kadar upah pengambilan dan penghantaran barang dan makanan.

Timbalan Presiden Penghantar, Abdul Hakim Abdul Rani mendakwa, skim baharu kadar upah pengambilan dan penghantaran tersebut yang berkuat kuasa 16 Jan lalu menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

“Kami mahu kadar caj penghantaran yang diturunkan daripada RM5 kepada RM4 pada 16 Jan lalu dikembalikan semula.

"Jumlah RM1 yang dikurangkan daripada kadar penghantaran semasa di Lembah Klang dan bandar-bandar utama lain, adalah terlalu banyak," katanya ketika ditemui di Menara Dato Onn di sini, malam tadi.  

Terdahulu, beliau menyerahkan memorandum Penghantar yang mengandungi beberapa tuntutan berhubung kebajikan pekerja ekonomi gig kepada UMNO. 

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerimanya bagi pihak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. 

Tuntutan mereka yang lain termasuk mengekalkan bonus pikap sebanyak 60 sen untuk 2 kilometer (km) atau kurang dan 40 sen bagi setiap km selepasnya.

Abdul Hakim juga mempersoalkan tindakan syarikat p-hailing yang terus mendaftar penghantar baharu sedang ia tidak selari dengan kadar pesanan yang rendah ketika ini.

“Sepatutnya syarikat p-hailing membekukan pengambilan baharu penghantar.

“Mereka kata kadar pesanan terjejas, tetapi kenapa masih buka pendaftaran baharu?” soalnya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi dalam reaksinya memaklumkan satu suruhanjaya akan dibentuk bagi membantu kumpulan penghantar menangani masalah yang dihadapi.

"Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk meminta kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia. sekali gus memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi gig di Malaysia terpelihara," katanya.