PEKAN: Kadar minimum zakat fitrah di Pahang tahun ini ditetapkan RM7, namun umat Islam negeri ini digalakkan menunaikan kewajipan itu dengan menggunakan harga beras dimakan iaitu RM14 dan RM21.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata ini kali pertama Pahang melaksanakan galakan membayar cukai fitrah mengikut harga beras yang dimakan.

Kadar itu juga telah dirujuk kepada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang, selain Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Agama.

"Kadar minimum yang wajib dibayar ialah RM7 dan digalakkan (mereka) yang menggunakan beras wangi atau seumpamanya dan setara (membayar) RM14 dan RM21 bagi yang menggunakan beras basmati atau seumpama dan setara.

"Kadar pilihan ini bukanlah satu kemestian kerana kadar minimum diwajibkan masih RM7," katanya pada sidang media di pejabat MUIP di sini hari ini.

Ahmad Hairi berkata 934 amil zakat fitrah telah ditauliahkan untuk menguruskan kutipan zakat, dan zakat juga boleh dibayar secara dalam talian di ezakat.muip.gov.my.

"Umat Islam di Pahang dinasihatkan membayar zakat fitrah mereka melalui amil bertauliah sahaja dan tidak dibenarkan menunaikannya melalui pihak yang tidak diberi kuasa.

"Sekiranya ada pihak yang mengutip zakat fitrah tanpa tauliah atau kebenaran, ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Ahmad Hairi berkata MUIP juga akan mengagihkan bantuan menyambut Ramadan kepada 10,012 ketua isi rumah asnaf dan fakir miskin yang merupakan penerima zakat bulanan dengan jumlah RM4.628 juta selain sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan berjumlah RM4.244 juta kepada 682 masjid dan surau di Pahang.

-- BERNAMA