KUALA NERUS: Kadet Integriti Muda perlu memainkan peranan sebagai duta kecil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masyarakat dengan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah serta menyebarkan mesej integriti.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata golongan itu juga perlu peka mengenai perlakuan rasuah dan salah guna kuasa di persekitaran masing-masing.
Beliau berkata integriti sebenar bukan sekadar melakukan perkara yang betul ketika diperhatikan, sebaliknya tetap memilih kebenaran walaupun tanpa pengawasan orang lain.
“Dalam kehidupan, saudara dan saudari mungkin berhadapan dengan pelbagai tekanan dan godaan. Ketika itulah keberanian moral amat diperlukan untuk berkata tidak kepada rasuah, penipuan dan salah guna kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tamat Latihan Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (KOR SUAR) dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kohort 4/2026 di universiti itu di sini hari ini.
Azmi berkata ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang latihan perlu dijadikan panduan untuk membentuk individu yang bukan sahaja berjaya, tetapi juga amanah dan boleh dipercayai.
Beliau berkata penerapan nilai integriti dalam kalangan generasi muda penting bagi melahirkan masyarakat yang berprinsip serta menolak sebarang bentuk perlakuan rasuah.
Sebanyak 39 kadet berjaya menamatkan latihan Kor SUAR, yang merupakan antara inisiatif SPRM untuk menyemai kesedaran antirasuah serta membentuk mahasiswa yang berintegriti, berdisiplin dan mempunyai keberanian moral.
Sejak diperkenalkan pada 2023, sebanyak 138 kadet UniSZA telah berjaya menamatkan latihan berkenaan.
-- BERNAMA