BEBERAPA hari yang lepas, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengemukakan kaedah bayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji berjadual (PGB) mulai Januari 2019.

Kaedah ini melibatkan potongan wajib bulanan di antara 2 dan 15 peratus daripada peminjam yang berpendapatan RM2,000 dan ke atas.

Berdasarkan laporan, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratus potongan kepada majikan.

Untuk itu, PTPTN akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan, antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan maklumat pekerjaan peminjam.

Saya berpandangan kaedah PGB boleh dilaksanakan tetapi kadarnya perlu mengambil kira kedudukan sosio-ekonomi peminjam dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak iaitu peminjam dan PTPTN.

Pemotongan terus mengikut gaji bulanan peminjam dijangka akan menekan isi rumah kerana ia tidak mengambil kira kedudukan sosio-ekonomi seperti bilangan tanggungan dan komitmen kewangan semasa.

Analisis saya ke atas data Tinjauan Pendapatan Isirumah (HIS) 2014 menyokong hujah bahawa kedudukan sosio-ekonomi wajib diambil kira sebelum PGB dilaksanakan.

Terdapat 2.3 peratus daripada ketua isi rumah berpendapatan bulanan di bawah RM2,000 adalah pemegang diploma dan ijazah. Daripada jumlah tersebut, 49.2 peratus adalah berumur di antara 20 dan 29 tahun.

Bagi pendapatan bulanan RM2,001-RM5,000, ketua isi rumah yang memiliki diploma dan ijazah adalah sebanyak 10.5 peratus. Daripada jumlah tersebut, 30.6 peratus adalah mereka yang berumur di antara 20 dan 29 tahun.

Perangkaan HIS 2014 ini memberi gambaran kasar kedudukan semasa ekonomi isi rumah Malaysia yang memiliki diploma dan ijazah.

Harus diingat bahawa perangkaan ini mewakili pendapatan isi rumah yang mengambil kira keseluruhan pendapatan ahli keluarga. Ini belum lagi diambil kira jumlah tanggungan bagi setiap isi rumah.

Penting juga ditegaskan di sini bahawa kemelut pembayaran balik PTPTN ini turut disumbang oleh ketidakpadanan di antara kelayakan akademik peminjam dan pekerjaan yang dimiliki.

Ini masalah ekonomi semasa di mana wujud jurang di antara penawaran graduan dan permintaan oleh industri di pasaran buruh.

Perangkaan daripada Penyiasatan Tenaga Buruh tahun 2014 menunjukkan sebanyak 24 peratus daripada pekerja di bawah kategori “Perkeranian dan Sokongan” memiliki diploma dan ijazah. Sebanyak 13 peratus daripada mereka ini adalah golongan belia yang berumur di antara 20 dan 29 tahun.

Dalam tempoh 2001-2016, sebanyak 2 juta pekerja yang memiliki diploma dan ijazah memasuki pasaran pekerjaan. Hanya 73.6 peratus sahaja yang mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan akademik mereka.

Ketidakpadanan pekerjaan ini sudah pasti mempengaruhi kedudukan kewangan semasa peminjam dan seterusnya memberi kesan kepada bayaran balik PTPTN.

Oleh yang demikian, mekanisma PGB yang fleksibel diperlukan.

Kadarnya perlu mengambil kira kedudukan ekonomi semasa peminjam dan boleh berubah mengikut kedudukan kewangan isi rumah.

Kadarnya perlu mendapat persetujuan peminjam agar tidak memberi bebanan tambahan kepada isi rumah.


Mohd Yusof Saari (Yusof) adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands.

Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.