Skip to main content

Malaysia

Kaedah pengesahan umur media sosial dimuktamadkan suku kedua 2026 - Nie Ching

51729492982_TBTeoNieChing.jpg
Teo Nie Ching berkata, mekanisme berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan memudaratkan selaras dengan penguatkuasaan akta itu sejak 1 Januari lepas. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan kaedah pengesahan umur bagi pengguna media sosial akan dimuktamadkan melalui instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) pada suku kedua tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, mekanisme berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan memudaratkan selaras dengan penguatkuasaan akta itu sejak 1 Januari lepas.

Advertisement

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang menilai tahap pelaksanaan mekanisme pengesahan umur dan identiti dengan mengambil kira aspek keselamatan akaun, perlindungan data peribadi, privasi serta kesesuaian dengan kerangka perundangan sedia ada.

"MCMC juga sedang melaksanakan proses Medan Ujian Regulatori (Regulatory Sandbox) bersama penyedia platform media sosial bagi menilai pendekatan teknologi yang sesuai,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara di sini pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai cadangan sekatan ketat akses media sosial terhadap kanak-kanak bawah 16 tahun bagi mengekang unsur berbahaya yang menjejaskan kesihatan mental mereka.

Nie Ching berkata, ujian berkenaan melibatkan kaedah pengesahan umur, pensahihan entiti serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan kandungan berisiko. 

"Selepas penilaian mekanisme pengesahan umur dan proses Medan Ujian Regulatori, kewajipan untuk memastikan pengguna berumur 16 tahun ke bawah tidak menggunakan akaun media sosial akan diletakkan sepenuhnya kepada penyedia platform berdasarkan instrumen subsidiari di bawah Akta 866," katanya.

Kegagalan penyedia platform mematuhi peruntukan tersebut boleh menyebabkan penalti kewangan hingga RM10 juta dikenakan, katanya.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan algoritma media sosial selamat dan bersesuaian mengikut peringkat umur, seterusnya mengelak pendedahan kepada kandungan negatif seperti buli siber dan gangguan seksual.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Senator Tiew Way Keng, Nie Ching mendedahkan bahawa dari 1 Januari 2022 hingga 15 Februari lepas, sebanyak 1,578 permohonan penurunan kandungan jelik melampau membabitkan kanak-kanak telah dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan, dengan 96 peratus berjaya diturunkan.

Bagi memperkukuh keselamatan digital, MCMC turut memulakan rundingan awam sejak 12 Februari bagi membangunkan Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-kanak yang dijangka dimuktamadkan selepas 13 Mac ini.

"Hasrat kita adalah menjadikan kod ini sebagai kewajipan terhadap penyedia platform supaya algoritma mereka lebih selamat, dan mewujudkan mekanisme aduan yang lebih pantas dan berkesan," katanya. - Bernama

 


 

Must Watch Video