SUBANG JAYA: Kerajaan berpendapat wujud keperluan untuk mengkaji semula gaji dan faedah kakitangan Prasarana bagi memastikan mereka memperoleh bayaran yang setanding dengan negara luar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kajian mendapati, rata-rata mereka lebih tertarik dengan tawaran yang diberikan daripada negara luar termasuk di Singapura.

"Pada tahun 2022, 836 kakitangan Prasarana meletak jawatan, satu 'turnover rate' yang agak tinggi.

"Turnover rate untuk Rapid Rail adalah 6%, manakala turnover rate Rapid Bus mencecah 11%. Ini adalah situasi yang membimbangkan.

"Majoriti mereka yang meninggalkan Prasarana adalah kakitangan teknikal dan kapten bas yang tertarik dengan tawaran yang lebih lumayan oleh pengusaha bas dan rel di dalam dan luar negara termasuk Singapura dan Timur Tengah.

"Berikutan situasi dan cabaran ini, adalah menjadi tanggungjawab Prasarana dan kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi sentiasa dijaga, di mana terdapat keperluan untuk mengkaji semula gaji dan faedah sedia ada agar setanding dengan pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Rapid Rail di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Loke berkata, usaha ini penting bagi memastikan persediaan pekerja mahir dan mewujudkan daya saing dalam syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, kadar penggunaan pengangkutan awam juga mencatatkan peningkatan yang baik bukan sahaja bagi Prasarana malah turut membawa kesan positif terhadap kerajaan.

"Saya telah dimaklumkan bahawa pada 21 Mac 2023, jumlah penggunaan harian rel and bas telah mencecah lebih sejuta orang.

"Ini adalah salah satu pencapaian yang memberangsangkan bukan sahaja buat Prasarana tapi juga buat kami di pihak Kementerian," ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa melawat Kompleks Penyelenggaraan Laluan Kelana Jaya untuk melihat sendiri kerja-kerja penyelenggaraan tren dan bersama dengan kakitangan teknikal.

Ini termasuk menilai semula inisiatif yang boleh diambil bagi memperbaiki mutu perkhidmatan rel.

Menurutnya, kakitangan teknikal juga banyak berkongsi mengenai inisiatif- inisiatif yang diambil untuk memperbaiki mutu perkhidmatan rel.

Pada majlis sama, Prasarana turut meraikan Yayasan Anak- Anak Yatim Wardhatul Jannah selain turut menyampaikan sumbangan duit raya.