90 peratus syarikat tersenarai tempatan berpendapat penipuan, sogokan dan rasuah adalah masalah yang tidak dapat dielakkan dalam menjalankan perniagaan di Malaysia.

Hasil kaji selidik KPMG Malaysia turut mendapati lebih 83 peratus mengakui masalah penipuan berlaku di dalam organisasi mereka.

Perkara berkenaan didedahkan firma audit global itu dalam kaji selidik mereka, " Penipuan, Sogokan dan Rasuah 2013" ke atas 100 syarikat tersenarai tempatan.

Menurut pengarah eksekutif KPMG Tan Kim Chuan sebahagian besar responden menyatakan penipuan berleluasa di dalam syarikat mereka.

"Responden yang kami kaji mengakui bahawa sogokan dan rasuah bakal menjadi masalah yang akan mempengaruhi perniagaan mereka pada masa hadapan. Jadi ini memberi mesej jelas bahawa syarikat perlu mengambil langkah proaktif dalam menangani penipuan, sogokan dan rasuah" kata Kim Chuan.



Hasil kaji selidik juga mendedahkan pegawai di peringkat bahagian kewangan dan perolehan lebih cenderung melakukan penipuan.

Selain itu, kurang keberkesanan fungsi kawalan dalaman serta audit mewujudkan ruang untuk berlakunya penyelewangan.

Antaranya, sogokan dalam bentuk wang, hiburan dan hadiah paling kerap berlaku.

"Selalunya pembayaran dilakukan di luar premis pejabat agar tidak meninggalkan sebarang bukti atau disyaki sesiapa dan ia adalah kaedah mudah untuk syarikat terlibat dalam perbuatan rasuah." kata Kim Chuan.

Kajian itu juga mendedahkan 80 peratus jumlah penipuan termasuk sogokan dan rasuah telah meningkat sepanjang 3 tahun lepas dengan 94 peratus menyatakan penipuan kini dilakukan dengan cara lebih canggih.

Edisi kelima kaji selidik itu menunjukkan 48 peratus responden menyatakan organisasi mereka pernah menjadi mangsa penipuan dengan 62 peratus datangnya daripada industri perdagangan dan perkhidmatan, produk pengguna dan pembinaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpendapat aktiviti penipuan itu berlaku akibat tanggapan umum bahawa ia adalah amalan biasa dalam perniagaan.

Selain itu, kurang kesedaran mengenai rasuah dan kesannya menjadi faktor menyumbang kepada peningkatan kes itu.




Menurut Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed hasil kaji selidik KPMG Malaysia itu menandakan kes rasuah adalah isu serius yang perlu ditangani.

"Kerana bidang perniagaan mereka faktor kedua "acceptable behaviour" iaitu tingkah laku diterima seolah sesuatu yang biasa dan lumrah. Selain itu, kesedaran mereka dan benar jangkaan kami, hasil daripada kajian ini tidak ada satu orang pun iaitu 0% responden yang mempunyai pengetahuan yang dalam mengenai Akta Pencegahan Rasuah." kata Abu Kassim selepas melancarkan kajian selidik itu di Petaling Jaya.

SPRM katanya akan menumpukan perhatian serius kepada sektor swasta dalam usaha membendung persepsi rasuah itu.

"Kita akan merangka program memberi penekanan dan kerjasama kepada sektor swasta terutama kepada syarikat tersenarai di bursa iaitu pada 3 peringkat penyiasatan pendidikan pencegahan iaitu kita akan lebih banyak berinteraksi dengan ketua atau pemimpin dalam syarikat-syarikat tersenarai di bursa ini." tambah Abu Kassim lagi.

Abu Kassim ditemui selepas pelancaran kaji selidik penipuan, sogokan dan rasuah 2013 oleh KPMG Malaysia di Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Presiden Tranparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar berpendapat pihak syarikat perlu memperketatkan kawalan dalaman bagi mencegah perbuatan rasuah.

Selain itu, pemimpin dan pegawai peringkat atasan juga perlu mempamerkan teladan baik dengan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah.

Menurut Akhbar majikan juga dinasihat supaya menggariskan panduan jelas termasuk penerimaan wang atau hadiah yang boleh dianggap sebagai rasuah.

Pihak pengurusan juga perlu memastikan syarikat menggaji pegawai yang berintegriti.

"Pertama jalankan background checking supaya pasti pegawai benar-benar berintegeriti dan kedua saya rasa kita juga perlu menjaga kebajikan pegawai agar tidak bekerja untuk pentingan syarikat malah bekerja untuk syarikat yang disayangi." kata akhbar ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau turut menyifatkan hasil kaji selidik KPMG Malaysia itu yang menyatakan rasuah sebagai amalan perniagaan sebagai amat membimbangkan dan mampu menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara.