KUALA LUMPUR: Sebanyak 400 kakitangan media yang kurang berkemampuan dan badan kebajikan agensi media menerima sumbangan 'wakalah' berjumlah keseluruhan RM120,000 daripada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Selasa.

Agensi berkenaan adalah Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Alhijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Media Prima Berhad, Astro, Malaysia Gazette, Star Media Group dan Awesome TV.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pemberian bantuan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pihak media yang berperanan penting dalam menyebarluaskan maklumat berhubung dakwah zakat kepada masyarakat.

"Media merupakan salah satu jambatan penting yang menghubungkan PPZ-MAIWP kepada masyarakat. Saya amat berterima kasih kerana berita mengenai kemiskinan dan individu yang memerlukan juga menjadi platform kepada kita untuk menyampaikan zakat.

"Kami tidak mampu berdakwah sendiri tanpa pertolongan rakan-rakan media. Setiap tulisan dan hebahan yang dilakukan secara tidak langsung telah memberi impak kepada peningkatan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Iftar PPZ-MAIWP Bersama Media di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, peranan media pada masa kini adalah lebih penting khususnya dalam situasi kemiskinan bandar yang dilihat semakin meningkat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur susulan penularan wabak COVID-19 sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mengenal pasti lapan jenis asnaf miskin bandar sekali gus bagi mengelakkan berlakunya keciciran dalam penyampaian zakat.

Menyentuh mengenai kutipan zakat, Abdul Aziz berkata pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM1 bilion zakat pada tahun ini berbanding RM937 juta pada tahun lepas.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman serta wakil sembilan agensi media tempatan berkenaan. - BERNAMA