IPOH: Seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa selepas mengaku salah atas tuduhan menggunakan resit palsu sebagai tulen, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Helmi Ahmad Cabi yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Unit Institut Memandu Bahagian Perlesenan JPJ Perak, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curang telah menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu Resit Rasmi Kerajaan Malaysia Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, berjumlah RM2,000 bagi perkara Buku Teks KPP baharu Kelas Motosikal (B.M) yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat JPJ Ipoh pada 17 Februari 2020.

Dia dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan jika tertuduh gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.