PETALING JAYA: Kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bakal menikmati kenaikan gaji sebanyak empat hingga 10 peratus berdasarkan skor prestasi kerja masing-masing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia merupakan antara enam insentif penambahbaikan faedah kepada kakitangan yang diluluskan Lembaga Pengarah Prasarana.

Beliau berkata, penambahbaikan kadar elaun syif sebanyak 36.3 peratus iaitu daripada RM11 kepada RM15 sehari bagi syif siang dan 53.8 peratus iaitu daripada RM13 kepada RM20 sehari bagi syif malam, juga akan dilaksanakan khususnya kepada kumpulan barisan hadapan dan kakitangan bukan eksekutif melibatkan 2,800 warga Prasarana.

Katanya, turut dilaksanakan penambahbaikan kadar Elaun Pemanduan sebanyak RM10 sehari kepada kakitangan Rapid Bas yang akan memberi manfaat kepada 2,300 kapten bas, sekali gus menyumbang kepada peningkatan purata pendapatan kasar bulanan mereka sebanyak RM220.

"Saya dengan sukacita juga ingin mengumumkan pelaksanaan Elaun Pasaran Interim dengan kadar minimum RM200 bagi kumpulan teknikal yang terdiri daripada juruteknik kanan, jurutera dan jurutera kanan seramai 590 orang," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga Prasarana di sini, malam tadi.

Selain itu, Loke berkata, beliau difahamkan Lembaga Pengarah Prasarana juga telah meluluskan kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan daripada 15 peratus kepada 16 peratus bagi pekerja yang telah berkhidmat lima tahun dan ke atas.

Katanya, penambahbaikan manfaat perlindungan perubatan bagi kemasukan ke hospital daripada perlindungan individu kepada perlindungan keluarga di semua peringkat juga telah diluluskan.

Menurutnya, manfaat bagi pelan perlindungan keluarga yang baharu ini, memberi peluang kepada ahli keluarga yang berdaftar menggunakan jumlah yang diinsuranskan tanpa had selagi dalam had tahunan perlindungan.

"Maklumat terperinci akan disampaikan oleh pihak Prasarana kepada semua warganya dalam masa satu ke dua hari ini. Saya harap pengumuman ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban anda," katanya.

Loke berkata, kesemua insentif tersebut sebagai penghargaan kepada kakitangan serta mengatasi kadar pusing ganti pekerja yang tinggi dalam industri tersebut.

"Pada 2022, seramai 836 kakitangan Prasarana meletak jawatan, satu kadar pusing ganti pekerja yang agak tinggi dengan RapidRail mencatatkan enam peratus, manakala Rapid Bus mencecah 11 peratus dan ini adalah situasi yang membimbangkan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kajian dalaman, majoriti yang meninggalkan Prasarana adalah kakitangan teknikal dan kapten bas yang tertarik dengan tawaran lebih lumayan oleh pengusaha bas dan rel di dalam dan luar negara termasuk Singapura serta Timur Tengah.

"Berikutan situasi dan cabaran ini, adalah menjadi tanggungjawab Prasarana dan kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja berkemahiran tinggi sentiasa dijaga termasuk mengkaji semula gaji dan faedah sedia ada agar setanding dengan pasaran," katanya.


- BERNAMA