Jika DAP atau mana-mana komponen parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) mahu terus kekal sekadar sebagai pembangkang, mereka bolehlah berjuang sendirian.

Bagaimanapun menurut penganalisis politik, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, jika mereka wujudkan sistem dua parti yang kukuh, mereka harus mempunyai kesepakatan yang kukuh antara ketiga-tiga parti tersebut iaitu PAS, DAP dan PKR.

Beliau mengulas tentang 'ugutan' DAP yang tidak takut untuk keluar daripada PR andainya terdapat parti yang tidak berpegang kepada prinsip dan ‘cakap tak serupa bikin’ dalam pakatan tersebut.

"Kalau DAP sekadar nak kuasai Pulau Pinang atau sekadar nak jadi pembangkang selama-lamanya, dia bolehlah sendirian.

"Sebab sejak dari tahun 1966 memang mereka boleh bersendirian, tetapi kena ingat, kehadiran mereka itu adalah cuma sebagai pembangkang iaitu pembangkang yang kuat tetapi tidak pernah merasai untuk mendapatkan negeri-negeri seperti Perak dan Selangor," kata Timbalan Dekan Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM itu kepada Astro AWANI.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri forum Islam Demokrat Sedunia di Hotel One World, Petaling Jaya pada Isnin.

Kata Prof Shaharuddin, dalam soal ini DAP tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri kerana kewujudan sistem dua parti yang kukuh merupakan sesuatu yang menguntungkan rakyat.

Menurut beliau, DAP sememangnya kuat di kawasan yang mereka bertanding kerana majoriti penduduk di situ terdiri dari kaum Cina kecuali beberapa kawasan yang marginal seperti Teluk Intan dan sebagainya.

Selain itu, beliau juga mengakui bahawa komitmen PR telah teruji semenjak krisis Menteri Besar Selangor.

"Ya, komitmen PR memang teruji selepas tersebut, oleh itu persepakatan harus dibuat. Mereka perlu duduk semula dan selesaikan bukan sahaja isu Selangor tetapi juga apa-apa percanggahan pendapat yang timbul," kata Prof Shaharuddin lagi.

Sementara itu, turut senada dengan pandangan Prof Shaharuddin ialah seorang lagi penganalisis politik, Dr Maszlee Malik yang juga merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

maszlee malik
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik. -Foto Astro AWANI

Katanya, jika DAP mahu melihat perubahan yang menyeluruh serta ingin mewujudkan polisi-polisi yang lebih baik kepada rakyat, mereka haruslah bekerjasama dengan PR menuju ke arah kerajaan yang baharu.

"Mustahil DAP boleh lakukan sendirian atau DAP dan PKR boleh lakukan dengan sendirian, dan kalau mereka lebih selesa jadi pembangkang tanpa lakukan apa-apa perubahan, maka terserah pada mereka," kata Dr Maszlee.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata PR tidak mungkin akan dapat mengambil alih Putarajaya jika salah satu parti komponennya keluar daripada pakatan tersebut.

Menurut beliau, parti-parti tersebut sememangnya boleh terus kekal bersendirian seperti mana DAP dan PAS telah wujud setelah sekian lama, namun untuk mengambil alih kepimpinan, mereka harus bersatu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Sabtu dalam satu kenyataan di KiniTV, telah mendakwa ada parti yang ‘cakap tak serupa bikin’ dalam PR.

Menurutnya, parti yang dimaksudkan itu bukan sahaja tidak menunaikan janji, malah tidak menunjukkan komitmen kepada pakatan tersebut.

Meskipun nama parti tidak disebut, namun dipercayai ia ditujukan kepada PAS yang dikatakan enggan mematuhi konsensus PR untuk menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.