Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Nasrudin Hassan kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang disifatkan menyindir PAS.

Dalam satu kenyataan yang ditulis di laman Facebooknya yang meletakkan keratan muka depan akhbar Sinar Harian, Nasrudin berkata beliau akan dikatakan 'pukul' sama sendiri jika menjawab tuduhan yang dibuat Guan Eng.

"Kalau saya jawab, akan ada yang kata saya suka "pukul" sama sendiri. Tapi saksikan apa yang Pimpinan DAP ini lakukan.

"Tak habis - habis lagi. Maafkan saya selepas ini kalau saya tampil tegas mempertahankan wibawa pimpinan dan jamaah," katanya.

fb nasrudin tantawi
Kenyataan Nasrudin Hassan yang disiarkan di lama Facebooknya

Baru-baru ini Guan Eng dalam satu kenyataannya menegaskan beliau kesal dengan sikap parti dalam Pakatan Rakyat yang dilabelkan 'cakap tak serupa bikin'.

Banyak pihak melihat kenyataan Guan Eng itu sebagai satu sindiran kepada PAS kerana parti itu dikatakan mempunyai pendirian yang berbeza dengan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat dalam banyak hal terutama isu Menteri Besar Selangor.

Dalam kenyataan itu, Guan Eng juga menjelaskan DAP tidak takut untuk berjuang bersendirian kerana sejak ditubuhkan pada 1966, parti itu sentiasa berpegang kepada prinsip yang diperjuangkan.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP, Liew Chin Tong ketika dihubungi Astro AWANI menegaskan DAP, PAS dan PKR perlu kukuhkan mekanisme dalam Pakatan Rakyat.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat perlu mainkan peranan untuk mengukuhkan mekanisme Pakatan Rakyat untuk kita berdepan PRU14 seterusnya menguasai pentadbiran Malaysia.

"Kita tidak perlu untuk terus bercakaran sesama sendiri, sebaliknya perlu berusaha untuk mengukuhkan gabungan yang telah dibuat sejak 2008," katanya.