CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) perlu terus bersikap tegas dan berani dalam 'memburu' pembayar cukai yang culas tanpa menggira kedudukan dan pangkat termasuk dalam kalangan 'mahakaya' atau syarikat-syarikat gergasi.

Saranan itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 LHDN hari ini.

BACA: Hanya 435,000 daripada 1.5 juta syarikat berdaftar bayar cukai - PM Anwar

Menteri Kewangan itu menambah, agensi berkenaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan termasuk jika perlu menggeledah ke atas mereka yang tidak membayar cukai.

"Supaya jangan ada rasa kerana pengaruh dan kedudukan mereka, terlepas membayar cukai. Ada ke tidak, ada. Ada keperluan lebih tegas, ya.

"Kerana kita tidak boleh bagi gambaran yang atas paling mahakaya itu terselamat daripada tindakan.

"Mesti ada kesungguhan dan keberanian... saudara tidak kira kaitannya dengan kedudukan (pembayar cukai). Saya selalunya sebut, apakah dia Ahmad atau Ah Sin atau (pangkat) tan sri atau tun, saudara tidak kira. Saudara hanya kira dia bayar cukai atau tak, kalau tak bayar geledah dan ambil tindakan, barulah hebat," kata Perdana Menteri dalam ucapannya pada Jumaat.

Berucap pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengimbau sejarah ketika menjawat jawatan dalam Kabinet sebelum ini, yang mana menerima laporan terdapat puluhan syarikat gergasi dalam negara yang sukar membayar cukai.

"...ada yang bayar setengah, ada yang bayar suku. Hal ini kerana mereka itu terlalu besar.. gergasi, naga, siapa berani singgung.

"Tetapi ini saya bicara dengan pimpinan pengurusan jabatan ketika itu, mereka kata kalau ada kesediaan menteri untuk beri laluan, beri kami tempoh beberapa bulan dan mereka laksanakan sebaiknya," kongsi Anwar.

Perdana Menteri menambah beliau menghormati sikap berani tersebut yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan LHDN ketika ini.

"Mereka pergi secara berani tanpa menggira peringkat bawah, gergasi dan dalam perniagaan. Buat pertama kali, (LHDN) berjaya kutip (cukai daripada kumpulan berkenaan) kerana sikap dan ketegasan kita bersama," kata beliau.

Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendirian agar negara perlu mengutamakan tata kelola yang baik dan beralih daripada keselesaan dengan 'mengizinkan' ketirisan atau membiarkan para pemimpin menggaut kekayaan yang bukan hak mereka.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar semua jentera kerajaan dan penjawat awam bersama-sama menyelamatkan bangsa dan negara dengan menghentikan amalan tersebut.